Kementerian Wanita akan naikkan had umur minimum berkahwin

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menaikkan had umur minimum untuk berkahwin kepada 18 tahun.

KPWKM menyatakan pendirian itu dalam kenyataan media terbarunya bagi mengulas wacana nasional yang berterusan tentang kes lelaki 41 tahun menikahi kanak-kanak 11 tahun di Kelantan bulan lalu.

“Sebagai langkah jangka masa panjang, kementerian sedang dalam usaha bersama menteri hal ehwal agama di Pejabat Perdana Menteri untuk menetapkan had umur minimum perkahwinan di dalam semua perundangan kepada 18 tahun.

“Perkara ini melibatkan Akta Uundang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, Ordinan Undang-undang Keluarga Islam (Sarawak) 2001, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam setiap negeri, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1972 di Sabah, dan undang-undang adat kaum peribumi di Sarawak,” kenyataan kementerian itu dipetik.

Pada masa sama, KPWKM mengalu-alukan inisiatif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang terlebih dahulu mengusulkan untuk menaikkan had umur mimimum perkahwinan untuk kanak-kanak perempuan beragama Islam kepada 18 tahun di Selangor.

Kementerian itu yang diketuai Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku menteri percaya langkah itu akan memelihara hak kanak-kanak.

“KPWKM tegas berpendirian kanak-kanak perlu diberi peluang untuk mengembangkan potensi sepenuhnya selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

“Kementerian menolak sama sekali perkahwinan membabitkan kanak-kanak pada usia terlalu muda lebih-lebih lagi dengan pasangan dewasa,” kata kenyataan itu.

Langkah-langkah lain yang lebih menyeluruh untuk mencegah insiden perkahwinan umur juga akan dilaksanakan kerajaan.

“KPWKM kini bekerjasama erat dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Ekonomi penting untuk menghapuskan kemiskinan, meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar serta memberi peluang pemerkasaan ekonomi terutama kepada wanita untuk memastikan keluarga tidak memilih perkahwinan kanak-kanak demi kelangsungan hidup,” kenyataan itu dipetik.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72140

Posted by on Aug 6 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE