‘Kenaikan gaji minimum sedikit, boleh dipertingkatkan’

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad merasakan kenaikan gaji minimum yang diumumkan Putrajaya semalam adalah sedikit dan boleh diperbaiki lagi.

Walaupun menyambut baik kenyataan itu, Nik Nazmi menggesa kerajaan untuk mengambil kira faktor gaji golongan buruh yang sejak sekian lama tiada perubahan,

“Walaupun kenaikan itu adalah sedikit pada masa ini, tetapi ini merupakan satu kemajuan yang boleh dipertingkatkan lagi pada masa akan datang.

“Tidak boleh dinafikan bahawa kadar gaji di Malaysia telah mendatar sekian lama dan aspirasi kita untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi telah lama terkesan oleh kelembapan ini,” kata ahli Parlimen Setiawangsa itu dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kadar gaji minimum utu perlu dinaikkan lagi sebaik sahaja ekonomi negara pulih daripada kerosakan yang ditinggalkan kerajaan sebelum ini.

“Apabila ekonomi kian pulih kita harus meningkatkan kadar gaji minimum ini kepada RM1500 dalam masa lima tahun selaras dengan manifesto, dan memberi insentif kepada pemilik perniagaan — termasuklah dengan memberi pengecualian cukai — agar gaji boleh dinaikkan ke gaji minima, atau lebih tinggi lagi ‘living wage’ seperti yang disarankan oleh Bank Negara.

“Dasar perolehan kerajaan juga harus diubah dalam jangkamasa sesuai agar syarikat yang membayar ‘living wage’ diberi keutamaan.

“Impak jangka masa panjangnya adalah kenaikan pendapatan yang akan menyebabkan kenaikan perbelanjaan, dan kesan berganda kepada ekonomi,” jelasnya.

Semalam, kerajaan mengumumkan kadar gaji minimum seragam bagi seluruh negara iaitu RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata keputusan itu dibuat selepas menimbang syor-syor yang diberikan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) hasil kajian semula terhadap Perintah Gaji Minimum 2016.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72283

Posted by on Sep 6 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE