Kenapa laporan audit lambat dibentang? – Wan Azizah

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kesal dengan tindakan Putrajaya melengah-lengahkan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 yang dilakukan sehari sebelum Dewan Rakyat tamat bersidang.

Wan Azizah yang merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata tindakan itu menyebabkan ahli-ahli Parlimen tidak mempunyai masa mencukupi untuk meneliti laporan tersebut bagi membaiki perjalanan pentadbiran negara.

“Laporan Ketua Audit Negara 2016 disiapkan oleh Ketua Audit Negara pada 3 November 2017, akan tetapi laporan itu hanya dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 November 2017 iaitu 24 hari kemudian atau tiga hari sebelum berakhirnya Mesyuarat Parlimen penggal ini.

“Lantaran itu ahli-ahli Dewan Rakyat tidak berpeluang untuk meneliti input berguna daripada Laporan Ketua Audit Negara untuk tujuan membantu perbahasan dan membangkitkan isu-isu dan syor-syor Ketua Audit Negara.

“Kami ahli-ahli Dewan Rakyat tidak berpeluang membahaskan isu-isu berbangkit melibatkan kelemahan hasil daripada pengauditan Jabatan Audit Negara terhadap 13 Kementerian dan jabatan kerajaan Persekutan serta enam badan berkanun Persekutuan.

“Kenapakah laporan itu lambat dibentangkan di Dewan Rakyat? Apakah sebab kelewatan memberikan Laporan Audit tersebut kepada ahli-ahli Dewan Rakyat?

“Tidakkah pembentangan yang awal akan dapat membantu ahli-ahli Dewan Rakyat mengajukan cadangan, penambahbaikan terhadap kedapatan kelemahan berikutan hasil pengauditan tersebut?

“Bukankah pembentangan laporan audit yang lebih awal akan membolehkan ahli-ahli Dewan Rakyat membantu Ketua Audit Negara bagi mengenengahkan segala syor beliau untuk memperbaiki kelemahan yang telah dikenalpasti?” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataannya, Wan Azizah turut menyenaraikan empat contoh dapatan dalam laporan itu yang perlu diberikan perhatian.

Empat dapatan tersebut adalah seperti berikut:

1. Pengurusan Program Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) di bawah tanggungjawab Kementerian Wilayah Persekutuan.

a. Audit mendapati, pengurusan penjualan tanah milik DBKL untuk Program RUMAWIP tidak memuaskan. Tanah dijual pada syarikat-syarikat yang tidak berwibawa dan tanpa justifikasi yang jelas. Didapati masih ada projek pembinaan RUMAWIP masih belum dibangunkan hingga kini meskipun Perjanjian Jual Beli Tanah telah dimeterai sejak 2011.

b. Audit mendapati, pengurusan pembangunan projek dari segi syarat nyata tanah tidak memuaskan. Kedapatan tanah dengan syarat nyata asal untuk tujuan Kawasan Rizab Hijau dan Tapak Kompleks Terminal Pengangkutan Awam ditukar syarat kepada perumahan awam dan tapak pembangunan rumah mampu milik dan kediaman pangsapuri tanpa justifikasi.

c. Audit mendapati, Pengurusan Penilaian Harga Tanah untuk Dilupuskan adalah tidak memuaskan kerana penilaian telah dibuat tanpa menggunakan asas yang tepat. Ada kes penjualan tanah menyebabkan Kerajaan khususnya DBKL menanggung kerugian RM 24.07 juta berikutan harga tawaran yang dibuat oleh DBKL kepada syarikat pemaju lebih rendah dari harga pasaran semasa.

2. Pembinaan Infrastruktur Bagi Pesawat Helikopter EC725 di Pengkalan Udara TUDM Kuantan, Pahang dibawah tanggungjawab Kementerian Pertahanan.

a. Audit mendapati, proses pemilihan kontraktor bagi pembinaan projek yang berjumlah RM 127.29 juta adalah tidak memuaskan kerana Jawatankuasa Penilaian Tender telah mengesyorkan syarikat yang tidak menepati Needs Statement.

b. Audit mendapati, projek gagal disiapkan kontraktor iaitu Bella Builders Sdn Bhd yang diberikan kontrak pada 10 Februari 2012. Kontraktor gagal menyiapkan projek menurut jadual dan kontrak ditamatkan pada 8 Disember 2016. Sehingga tarikh penamatan kontrak pada 8 Disember 2016, kontraktor dikenakan Denda dan Ganti Rugi Ditetapkan dengan jumlah terkumpul sebanyak RM 19.61 juta.

3. Pengurusan Kad Pekerja Asing (i-Kad), Jabatan Imigresen Malaysia dibawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri.

a. Audit mendapati, objektif pelaksanaan i-Kad sebagai dokumen pengenalan diri pekerja asing tidak tercapai kerana terdapat i-Kad gagal diserah, lewat diserah dan pekerja asing masih ditahan oleh pihak penguatkuasa (PDRM) walaupun mempunyai i-Kad.

b. Audit mendapati, Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) yang dilantik oleh KDN untuk pembekalan, percetakan dan penyerahan kad pekerja asing (i-Kad) lewat menyerahkan 931,729 bagi tahun 2014 hingga 2016, dan patut dikenakan penalti.

c. Audit mendapati, pengurusan penalti adalah tidak memuaskan kerana penalti tidak dikenakan terhadap PNMB setelah lewat serahkan i-Kad sebagaimana dinyatakan dalam kontrak. Akibat itu, Kerajaan tidak dapat mengutip hasil penalti berjumah RM 4.32 juta bagi tempoh tahun 2014 hingga 2016.

4. Pengurusan Perolehan di Universiti Pendidikan Sultan Idris di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan Tinggi.

a. Audit mendapati, penurunan kuasa untuk menandatangani kontrak adalah tidak teratur menyebabkan 24 Surat Setuju Terima berjumlah RM 91.75 juta telah ditandatangani oleh pegawai yang tidak diberi kuasa.

b. Audit mendapati, Naib Canselor UPSI juga telah melangkaui kuasa YB Menteri apabila menandatangani kontrak bagi pihak Kerajaan Malaysia tanpa kuasa di bawah Akta Kontrak Kerajaan 1949. Contohnya, semakan audit mendapati bagi kontrak UPSI/T/01/2016 Pembinaan Bangunan Tenpin Boling dan Lapangan Sasar Golf yang berjumlah RM 2.4 juta, Naib Canselor UPSI ( Prof Dato’ Dr Zakaria Kasa) pada 22 Mac 2017 telah menandatangani kontrak tersebut bagi pihak Kerajaan Malaysia. Selaras dengan ketetapan Seksyen 2 Akta Kontrak Kerajaan, Naib Canselor UPSI tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani kontrak bagi pihak Kerajaan Malaysia kerana kuasa tersebut tidak diperturunkan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi kepada Naib Canselor UPSI. Ini boleh menyebabkan liabiliti terhadap terma kontrak juga dipertanggungjawabkan terhadap Kerajaan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70815

Posted by on Nov 30 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE