Kerajaan Negeri Sembilan haram selepas 26 Mac – Dr Aziz Bari

(Oleh: Rusnizam Mahat)

 

KUALA LUMPUR 22 Mac: Kerajaan Negeri Sembilan akan menjadi kerajaan haram jika ia terus beroperasi selepas 26 Mac, kata pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, DUN Negeri Sembilan akan bubar dengan sendiri pada tarikh tersebut jika tiada  pembubaran DUN dilakukan sebelum itu.

“Sekiranya kerajaan Negeri Sembilan terus beroperasi selepas Selasa, 26 Mac ini, kita boleh katakan yang ia haram. Ini kerana pada tarikh itu DUN Negeri Sembilan bubar secara automatik.

“Dalam sistem demokrasi berparlimen – atau Westminster – hayat kerajaan bergantung kepada dewan. Bila dewan bubar kerajaan pun ikut bubar.

“Sebuah kerajaan sementara (caretaker government) perlu dilantik oleh Yam Tuan Besar. Menteri Besar (MB) yang ada boleh dilantik sebagai MB sementara,” katanya kepada Keadilan Daily.

Untuk rekod, sidang pertama Dewan Rakyat adalah pada 28 April 2008, manakala sidang DUN pertama pula bermula dengan Negeri Sembilan iaitu pada 25 Mac dan diikuti DUN-DUN lain pada bulan April 2008.

Menurut Aziz, adalah tidak bermoral bagi kerajaan negeri atau pusat terus berkuasa kerana ia telah melebihi tarikh 8 Mac, iaitu melepasi tempoh mandat lima tahun yang diberikan sejak pilihan raya umum (PRU) 2008.

“Kalau dulu taklah menonjol sangat sebab dewan (Dewan Rakyat dan DUN) dibubar sebelum 5 tahun. Sekurang-kurangnya adalah hujah moral untuk tidak melantik kerajaan sementara secara formal,

“Tetapi sekarang ini lain, tarikh 8 Mac sudah jauh ditinggalkan. Tempat berpijak yang ada hanyalah tarikh dewan bersidang buat kali pertama selepas PRU yang lalu. Kalau tarikh yang itu pun sudah luput, apalagi alasan untuk kerajaan ini berada di situ dan menggunakan kemudahan serta wang rakyat,” katanya.

Justeru katanya, kerajaan sementara yang dilantik di Negeri Sembilan selepas 26 Mac perlu melaksanakan prinsip tersebut dengan menjalankan fungsi terhad sebagai sebuah kerajaan.

Ia katanya, termasuk tidak  membuat sebarang keputusan kritikal seperti meluluskan tanah, projek kerajaan atau menyampaikan bantuan kerajaan.

“Kerajaan sementara ini sekadar buat kerja rutin dan tak boleh buat inisiatif penting. Guna kemudahan awam lagilah tak boleh. Naikkan gaji pun menimbulkan persoalan,” ujarnya.

Menyifatkan tempoh yang ada pada kerajaan ibarat ‘simpanan petrol’ dalam tangki minyak sebuah kereta, Aziz menggesa  parlimen segera dibubar agar mandat baru diberikan oleh rakyat.

“Tarikh 26 Mac itu – atau 28 April dalam konteks Dewan Rakyat – ibarat petrol reserve.

“Maknanya kalau minyak habis, kereta kena berhenti dan isi minyak. Isi minyak di sini bermaksud bubar dewan dan adakan pilihan raya umum bagi mendapatkan mandat atau autoriti baru dari rakyat,” kata Aziz.

 

 

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=48039

Posted by on Mar 22 2013. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE