Kerajaan Selangor jelas bidang kuasa kerajaan sementara, jawab tuduhan Bersih

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 13 Feb 2012 telah meluluskan garis panduan yang disediakan Penasihat Undang-undang Kerajaan Selangor berhubung fungsi dan had kuasa sebuah kerajaan sementara.

Garis panduan berkenaan disedia berasaskan Perlembagaan Negeri Selangor (Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959).

MB1Garis panduan itu antara lain menyatakan kerajaan sementara terdiri daripada Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Perlembagaan Negeri Selangor menyatakan bahawa kerajaan sementara wujud bermula selepas Dewan Negeri Selangor dibubarkan sehingga persidangan pertama Ahli Dewan Negeri yang baru dilantik.

Kerajaan sementara mesti mengelak daripada membuat polisi baharu, meminda polisi sedia ada atau mengadakan kontrak dan perjanjian baharu.

Oleh itu, kerajaan sementara bebas meneruskan polisi, program serta melaksanakan keputusan yang telah dibuat dalam sidang Dewan Negeri Selangor dan mesyuarat MMKN sebelum Dewan Negeri dibubarkan.

Mengenai penggunaan kenderaan rasmi kerajaan negeri, Penasihat Undang-undang Negeri menyatakan bahawa;

“Ahli-ahli kerajaan sementara boleh menggunakan apa-apa harta, peralatan atau jentera kerajaan dalam tugasan harian rasmi dan tujuan awam. Walau bagaimanapun, harta, peralatan atau jentera Kerajaan tersebut tidak boleh digunakan bagi tujuan politik.

“Harta tersebut hendaklah digunakan bagi tujuan awam sahaja. Sebagai contoh, kenderaan rasmi , premis Kerajaan dan jentera kerajaan tidak boleh digunakan bagi tujuan kempen pilihan raya oleh mana-mana parti politik.”

Mengenai pemberian bonus RM300 kepada kakitangan kerajaan negeri yang dibangkitkan oleh Bersih, perlu ditegaskan bahawa pemberian bonus ini diputuskan dalam Mesyuarat MMKN pada 3 April 2013 iaitu tarikh sama kerajaan negeri meluluskan geran untuk polisi komuniti.

Pemberian Geran Tanah kepada penduduk di Bestari Jaya merupakan sebahagian daripada program pemilikan rumah yang dilancarkan pada 2010. Pada tahun yang sama, kerajaan negeri memberi kelonggaran pemilik tanah yang tidak mampu membayar premium minima RM1,000 boleh mendapatkan bantuan daripada kerajaan dengan melakukan kerja-kerja kebajikan yang dipantau oleh pegawai kerajaan sebagai pertukaran.

Merujuk kepada kenyataan oleh Bersih, Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri memaklumkan kepada Menteri Besar bahawa;

“Kerajaan sementara hanya mengimplementasikan sahaja keputusan yang telah dibuat demi memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat Negeri Selangor tidak terjejas dan senantiasa terpelihara dalam tempoh kerajaan sementara.

“Juga ditegaskan keputusan serta tindakan yang dibuat ini sama sekali bukan untuk meraih undi atau seumpamanya dan tidak bercanggah dengan code of conduct kerajaan sementara.”

Kerajaan Negeri berharap agar Bersih menentukan kesahihan semua fakta dan undang-undang dengan terperinci sebelum membuat sebarang tohmahan.

Sebagai kerajaan sementara di Selangor, Pakatan Rakyat komited untuk memastikan birokrasi berfungsi tetapi sentiasa berhati-hati untuk tidak menyalahgunakan dana awam untuk tujuan kempen pada Pilihan Raya Umum ke-13.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=50075

Posted by on Apr 12 2013. Filed under KENYATAAN MEDIA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google