Kerajaan terima tawaran ambil alih lebuh raya Maju Holdings

Kementerian Kerja Raya ada menerima cadangan pengambilalihan Plus Malaysia Bhd (PLUS) dua minggu lalu daripada Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings).

Menterinya, Baru Bian berkata cadangan itu kini diteliti sebelum dibawa kepada Kabinet.

“Kementerian sudah terima secara rasmi proposal dari Maju Holdings mahu ambilalih PLUS dalam dua minggu lepas. Sekarang, masih di tahap kementerian.

“Kita akan kaji proposal itu dan akan buat dokumentasi.

“Ini adalah satu bentuk transaksi perniagaan. Hanya selepas mengkaji (tawaran) itu, baru kementerian membuat rekomendasi (kepada Kabinet),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Anggota Parlimen Selangau itu berkata, setakat ini kerajaan tidak menerima sebarang cadangan daripada pihak lain.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kementeriannya menolak cadangan tawaran Maju Holdings berdasarkan pandangan pemegang saham utama PLUS, iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Namun katanya, beliau akan menganjurkan pertemuan dengan pihak Maju Holdings bagi membincangkan tawaran baharu yang dikemukakan syarikat terbabit.

“Kita terima banyak permohonan pelbagai pihak. Bila buat keputusan berlandaskan pandangan diberikan pemegang saham utama, dan di sini ialah Khazanah dan KWSP, dan buat masa ini kedua-dua syarikat ini tidak bersetuju.

“Daripada segi keputusan awal ia berpandukan pandangan dan keputusan dibuat oleh syor KWSP dan Khazanah. Itu adalah keputusan buat masa ini tetapi sudah tentu kita akan berpandukan apa yang diputuskan Perdana Menteri,” jelasnya.

Guan Eng mengulas laporan The Edge yang melaporkan beliau menentang pengambilalihan syarikat terbabit.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan spekulasi bahawa Pengerusi Eksekutif Maju Holdings, Abu Sahid Mohamed mengemukakan cadangan itu.

Dr Mahathir berkata, Maju Holdings merupakan satu-satunya pihak yang mengemukakan cadangan tersebut.

Untuk rekod, Maju sudah membuat tawaran untuk mengambil alih PLUS sejak pertengahan 2017, namun ditolak di peringkat Kementerian Kewangan pada waktu itu.

The Edge dipetik sebagai berkata, Maju mengemukakan empat tawaran kepada kerajaan dan kesemuanya bergantung pada pelanjutan tempoh konsesi lebuh raya berkenaan yang dijangka tamat pada 2038.

Maju mencadangkan pengurangan kadar tol sebanyak 25 peratus bagi mendapatkan pelanjutan tempoh konsesi 10 tahun atau pengurangan 30 peratus jika tempoh konsesi dilanjutkan selama 15 tahun sehingga 2053.

Ia juga menawarkan pengurangan kadar tol 33 peratus jika tempoh konsesi dilanjutkan kepada 20 tahun atau pengurangan 36 peratus kadar tol untuk pelanjutan tempoh konsesi 30 tahun hingga 2068.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73749

Posted by on Jul 11 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE