‘Keranda’ Tian Chua depan pejabat KEADILAN Melaka perbuatan biadap

(Oleh Ruqayya Rahman)

MELAKA 15 MAC: Ibu Pejabat KEADILAN Melaka digemparkan penemuan objek menyerupai keranda tertera gambar Tian Chua ‘berdarah’ dipercik cat merah dan kalungan bunga, dipercayai perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.

TianKeranda yang diletak depan pejabat itu disedari Pengarah Pilihan Raya KEADILAN Negeri, Mohd Yusof Abdullah kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Terkejut dengan penemuan itu, beliau menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada semua pimpinan KEADILAN Melaka.

Ketua Penerangan Negeri, Hairiz Nordin dihubungi berkata, SMS dari Yusof itu diterima beliau pada jam 7.36 pagi bersama kiriman gambar keranda tersebut.

Beliau menyifatkan perbuatan ke atas Naib Presiden KEADILAN itu biadap dan berniat jahat.

“Sebelum ini mereka ganggu ceramah Datuk Seri (Anwar Ibrahim). Sekarang mereka buat keranda Tian Chua pula, kejadian ini sangat memalukan dan biadap,” katanya.

Ditanya tindakan lanjut, Hairiz berkata, KEADILAN Melaka akan mengadakan sidang media di pejabat berkenaan berhubung serangan itu.

Katanya, mereka akan membuka semula rakaman litar tertutup (CCTV) pejabat itu untuk mengenalpasti pihak terlibat.

“Mereka tak akan terlepas, kita lihat bagaimana polis nak tangani kes ini,” sinisnya.

Sementara itu, Pengerusi KEADILAN Negeri, Shamsul Iskandar Md Akin dilapor berkata, kejadian berkenaan yang berunsur ugutan bunuh adalah yang pertama diterima Pakatan Rakyat Melaka.

Tian Chua dijangka ke Melaka pada 19 Mac ini untuk menjelaskan kepada rakyat berkenaan perkara sebenar mengenai kenyataannya berhubung isu Lahad Datu yang dimanipulasi menyebabkan beliau didakwa di bawah Akta Hasutan semalam. – NS

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=47439

Posted by on Mar 15 2013. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google