Kes Sugumar: Protes desak anggota polis didakwa, gantung tugas

(Oleh: Mohd Arif Juhani)

 

KAJANG 25 Jan: Kira-kira 50 individu termasuk ahli keluarga C Sugumar mengadakan protes di depan IPD Kajang, bagi mendesak anggota polis terlibat dengan kematiannya dibawa ke muka pengadilan.

Beberapa kain rentang yang ditulis “Polis Pembunuh”, “Najib Tindas Masyarakat India”, “Jangan Bodohkan Rakyat” turut dipapar sebagai respon kezaliman anggota polis.

Bagaimanapun, polis enggan membenarkan peguam dan keluarga mendiang masuk ke IPD berkenaan bagi membuat laporan berhubung kematiannya.

Sehubungan itu, peguam N Surendran berkata, satu lagi protes akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Selasa depan.

Beliau turut mengutuk kenyataan Ketua Polis Daerah (OCPD) Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab yang mendakwa Sugumar mati akibat serangan jantung.

“Ramai saksi berada di tempat kejadian nampak Sugumar dibelasah hingga mati dengan tangan bergari di belakang dan ada polis melumur muka mangsa dengan serbuk kunyit. Tapi kita kesal OCPD membela polis terbabit dan menipu rakyat kononnya mangsa mati akibat serangan jantung.

“Kita beri amaran kepada polis dan KDN, jangan cuba tutup kes ini dan mahu tindakan di ambil bawah seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh,” katanya.

“Tuntutan protes hari ini mendesak polis terlibat ditangkap, digantung (tugas) dan didakwa ke mahkamah,” katanya yang juga peguam keluarga mangsa.

Turut hadir Peguam Latheefa Koya, Adun Kajang, Lee Kim Sin; Penyelaras DUN Semenyih, Nor Azlan Hj. Mohammad; AJK Biro Maklumat KEADILAN, K. Gunasekaran; Ajk AMK Hulu Langat, Ananthakannan yang juga sepupu mangsa; Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S.Arutchelvan, peguam, aktivis politik dan pemberita.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam menuntut polis mendengar desakan rakyat dan keluarga untuk membenarkan bedah siasat kedua dijalankan.

“Saya desak Ketua Polis (COP) Selangor segera tubuh badan siasatan bebas, siasat isu sebenar dan tangkap korporal dan sarjan polis terlibat.

“Kita desak bedah siasat kedua dibuat di hospital universiti atau mana-mana hospital lain kerana kita tidak yakin kredibiliti Hospital Serdang.

“Kita beri masa selama 48 jam, jika bedah siasat kedua tidak dibuat, mayat Sugumar akan dibawa ke IPD Kajang dan satu lagi protes akan diadakan!,” ujarnya.

Semalam, media melaporkan kematian Sugumar, 40 selepas dibelasah 4 enggota polis dan orang ramai dalam keadaan tangan bergari. Malah anggota polis berkenaan turut memijak tengkuk mangsa dan melumur serbuk kunyit di mukanya. Kejadian tersebut berlaku berhampiran rumahnya di Taman Seri Nanding, Hulu Langat.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43870

Posted by on Jan 25 2013. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google