KETIKA KUAT MENIPU – KETIKA LEMAH LAGI BANYAK TIPU (Hishamuddin Rais)

Hakikatnya, kerajaan United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya dalam Barisan Nasional adalah kerajaan haram. Kerajaan ini mendapat kuasa melalui penipuan undi di Sabah. Kemenangan di Sabah datang dari undi pendatang haram yang diberi kad pengenalan. Ini bukan lagi satu rahsia. Satu alam Melayu mengetahui hal ini. Satu dunia telah membaca dan mendengar berita ini melalui Suruhanjaya Siasatan DiRaja Sabah.

Hasil penipuan undi di Sabah membolehkan United Malays National Organisation sejak tahun 80-an merompak harta kekayaan negara tanpa sekatan dan halangan. Rompakan dan penjarahan harta kekayaan negara ini ‘dilincirkan’ melalui apa yang dipanggil Undang-Undang dan Parlimen.

Justeru, adalah niat dan akidah parti Ketuanan Melayu untuk meneruskan kuasa ini. Memiliki kuasa bermakna mengawal dana negara. Memiliki kuasa bermakna mengawal berbilion duit cukai mukai negara. Memiliki kuasa bermakna menjaga harta kekayaan negara. Kuasa memberi hak menjaga berbilion-bilion dolar duit dan harta kekayaan Petronas.

UMNO tolak UMNO 01Jangan sesekali kita lupa, kuasa politik bermakna kuasa ekonomi. Perebutan politik ialah perebutan ekonomi. Pertempuran politik hari ini ialah pertempuran ekonomi. Pakatan Rakyat mahu merampas kuasa politik untuk merampas punca ekonomi. Manakala United Malays National Organisation sedang mempertahan kuasa politik. Hilang kuasa politik, maka hilanglah harta kekayaan yang bernilai berjuta bilion ringgit.

Sejarah dan fakta menunjukkan, penipuan undi di Sabah dijalankan sejak awal 80-an hingga hari ini. Pada 90-an, di zaman Mahathir Muhamad hingga ke zaman Abddullah Badawi, United Malays National Organisation dilihat cukup kuat. Mendabik dada sebagai Parti Islam terbesar di dunia. Tiada kuasa politik yang dapat menandingi monopoli kuasa Ketuanan Melayu. Parti ini angkuh, sombong dan bongkak kerana kekuatan hegemoni kuasa mereka.

Pembaca jangan terperanjat – walaupun dalam kedudukan begitu kuat, United Malays National Organisation masih terus menggunakan sistem undi tipu untuk meneruskan kuasa. Bayangkan pada tahun sesudah 2008, ketika orang ramai dan pengundi mula menolak United Malays National Organisation, pasti penipuan berjalan dengan lebih rancak dan lebih tersusun. Logiknya: Ketika kuat pun menipu – ketika lemah pasti lebih banyak menipu.

Saya menulis beberapa kali untuk menerangkan bahawa dalam PRU 13 yang ditentang oleh penyokong Pakatan bukan kekuatan United Malyas National Organisation atau keunggulan Barisan Nasional. Yang ditentang Pakatan ialah sistem pilihan raya yang disusun dengan rapi untuk memastikan United Malays National Organisation terus menang.

Sistem memenangkan United Malays National Organisation ini direka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Melalui Akta Tipu Ini dan Undang-Undang Tipu Itu, SPR dengan kerjasama Parlimen secara licik memperlihatkan kepada dunia bahawa pilihan raya di negara kita mengamal demokrasi. Hampeh!

Kali ini, saya ingin memberitahu beberapa cara-cara dan teknik penipuan yang telah, sedang dan akan dipakai. Parti United Malays National Organisation dengan kerjasama SPR, Polis, Jabatan Pendaftaran Negara dan seluruh agensi kerajaan sedang bersedia untuk menipu dalam PRU 13. Ini bukan tohmahan.

Kita tahu teknik menggunakan Kad Pengenalan Segera kepada pendatang haram. Ini telah dibuktikan. Ini bukan rahsia. Tetapi masih ada lagi teknik penipun yang dirancang dengan licik. Sekali imbas, jika salah pandang, maka kita tidak menyangka yang kita TIDAK kena tipu. SPR dan kuncu-kuncunya menjalankan penipuan dengan licik dan cekap. Lebih cekap dari Jantan Nigeria menjaja Black Money.

CARA TIPU PERTAMA: Pengunaan dakwat hitam sebenarnya penipuan yang amat jelas. Dalam pilihan raya di negara lain di dunia – jari dicelup dakwat hitam sebagai tanda TELAH mengundi. Ini bermakna kalau jari ada dakwat hitam, maka Si Polan ini tidak dibenarkan datang berhampiran tempat mengundi. Ada dakwat tak boleh dapat kertas undi.

dakwat11Tetapi di Malaysia – jari tercalit dakwat hitam bermakna dapat kertas undi. Pelik? Di Malaysia, bakal pengundi dicalit dakwat hitam dahulu kemudian baru diberi kertas untuk mengundi. Pelik! Kenapa TIDAK celup dakwat hitam sesudah mengundi? Kenapa ada tanda dakwat hitam baru dapat kertas undi? Hairan? Jangan hairan. Jangan terperanjat. Semua sengaja dirancang SPR untuk menipu. Bagaimana penipuan berjalan?

Senang sahaja. Dalam PRU 13, ada satu ‘kontijen baru’ dibentuk SPR. Mereka dinamakan Pengundi Awal. Ada seramai 240,000 angka rasmi Pengundi Awal. Mereka adalah pekerja SPR yang akan mengundi awal. Tangan mereka dicalit dakwat hitam kerana mereka mengundi awal.

Tetapi walaupun ada calitan dakwat hitam – si Pengundi Awal boleh dapat kertas undi sekali lagi. Ini kerana di Malaysia ada calitan dakwat masih bisa mengundi. Bayangkan berapa ramai dari 240,000 yang akan mengundi sekali lagi? Ada dakwat hitam boleh dapat kertas undi. Nampak cara menipu? Jelas.

CARA TIPU KEDUA: Kita pernah dengar bagaimana Azalina Osman dari Parlimen Pengerang menang dua kali pilihan raya dengan membeli bakal calon PKR. Ini bukan rahsia lagi. Kita sedar bagaimana bakal calon akan disogok, dibeli atau diculik sebelum hari penamaan calon. Tapi kali ini ada rancangan lebih.

Hakikatnya dalam pilihan raya di Malaysia, bukan berapa ramai penyokong datang mengundi. Tetapi siapa yang menjadi pengira undi.

Parti bertanding menyediakan apa yang dikenali sebagai PACABA – Ejen Mengundi, Ejen Mengira Undi dan Ejen Bilik Mengundi. Mereka diberi latihan. Anggota PACABA dari aktivis parti. Mereka bekerja sukarela di hari mengundi. Tetapi mereka jugalah benteng pertahanan awal paling lemah.

Kerana kali ini – khususnya di Selangor – United Malays National Organisation menubuhkan dana khas untuk membeli PACABA Pakatan. Ini sebagai ‘top-up’ undi pendatang haram yang disusun di Selangor. Selangor menjadi sasaran kerana mati hidup politik Najib bergantung pada Selangor. Walaupun wujudnya 134,000 pengundi yang tidak diketahui asal usul mereka – membeli PACABA adalah satu lagi jaminan kemenangan.

Membeli PACABA bukan satu yang baru. Pada pilihan raya 2008, satu kes berlaku di Lembah Pantai. Kes ini membuktikan bagaimana undang-undang dan peraturan SPR bertujuan untuk menipu.

Di Bukit Kerinchi, setelah undi dikira tetiba PACABA PKR terperanjat apabila diberitahu bahawa Borang 14 telah habis. Borang 14 adalah borang wajib untuk menentukan jumlah undi. Tanpa PACABA menandatangani borang, maka undi di saluran tidak sah. Taktik jahat SPR telah digagalkan apabila pekerja PKR merantai bilik mengundi dan mengunci pintu masuk ke sekolah. Ini kerana ada PACABA PKR yang keras kepala dan TIDAK dapat dibeli malam itu.

Kes seakan-akan sama juga berlaku di pilihan raya kecil Sibu – 16 Mei 2010. Ingatkan kembali bagaimana tetiba – sesudah kiraan undi selesai – sampai kotak undi pos. Walhal – undi pos – dijalankan lebih awal dan pengiraan dilakukan lebih awal. Kes Sibu memperlihat bagaimana PACABA cuba dibeli, tetapi gagal.

CARA TIPU KETIGA: PRU 13 ada satu berita baik. Telah diumumkan SPR bahawa warga Malaysia di luar negara boleh mengundi. Sekali dengar memang betul ini berita baik. Tetapi ini juga satu lagi penipuan. BERSIH 2.0 telah meminta SPR menerangkan mekanisme Pengundi Luar Negara. Hingga ke hari ini SPR gagal menerangkan bagaimana pengundian dijalankan.

Justeru, jangan terperanjat jika tetiba akan sampai undi luar negara untuk ‘top-up’ undi calon Rosmah yang wajib dimenangkan.

himpunan kebangkitan rakyat 171CARA KEEMPAT: Kotak undi sampai lambat. Kes klasik berlaku di Pekan pada 1999. Ramli Muhamad dari PAS mendapat 12,904. Kiraan undi menunjukkan Ramli menang dan Najib Razak dari United Malays National Organisation kalah. Tetiba datang satu kotak undi Orang Asli. Undi Najib tetiba menjadi 13,148. Najib akhirnya diselamatkan oleh 241 ‘undi tipu’. Ini sejarah. Ini fakta. Ini bukan fitnah.

Empat penipuan ini bukan baru. Cara penipuan telah, sedang dan akan digunakan. Pembaca wajib sedar ketika United Malays National Organisation kuat dan popular, penipuan terus dijalankan. Justeru, hari ini ketika Ketuanan Melayu amat lemah, mustahil tiada penipuan.

Himpunan Kebangkitan Rakyat – HKR#112 – dahulu ialah amaran kepada SPR dan United Malays National Organisation. HKR#112 bukti ombak kebangkitan rakyat sedang mengampoh. Rakyat mahu menukar kerajaan melalui pilihan raya. Tetapi jika pilihan raya dimenangi oleh United Malays National Organisation dengan cara tipu, maka rakyat akan turun ke jalan raya. Ombak kemarahan akan berganda-ganda dari HKR#112. Ini bukan ancaman. Ini satu janji. END

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=44540

Posted by on Feb 7 2013. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google