Keyakinan pelabur asing kembali pulih?

Oleh AKMAL NASIR

Bursa Malaysia telah mencatatkan aliran masuk bersih dana asing ke dalam negara yang meningkat pada bulan Januari yang lalu. Setakat 24 Januari lepas, pelaburan asing mencecah RM479.6 juta, mengatasi jumlah aliran minggu sebelumnya yakni sebanyak RM471.3 juta.

Perkara ini adalah satu perkembangan yang positif, tatkala ramai pelabur-pelabur besar yang mengambil pendirian untuk sekadar memerhati keadaan pasaran semasa disebabkan krisis perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang kian berlarutan.

Ketidaktentuan suasana politik semasa di peringkat global bagaimanapun telah memberikan kelebihan kepada Malaysia sebagai destinasi pelaburan dana asing yang lebih ideal buat masa ini.

Ia disokong oleh beberapa faktor seperti prestasi ekonomi yang kekal kukuh dan status negara membangun pesat yang mengamalkan ekonomi terbuka.

Ketegangan hubungan dagangan antara Beijing dan Washington yang berterusan serta isu Brexit di United Kingdom membuatkan pelabur asing lebih selesa untuk beralih ke pasaran negara yang sedang pesat membangun.

Berdasarkan perkembangan politik global semasa, kesempatan harus diambil oleh Malaysia untuk terus meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap kebolehan ekonomi negara.

Kestabilan politik dan ekonomi dalam negara dilihat menjadi faktor daya penarik utama kepada para pelabur asing.
Jika dilihat kepada prestasi Bursa Malaysia beberapa bulan yang lepas, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan penyusutan sejak perubahan pentadbiran kerajaan, namun ia adalah tindak balas pasaran yang biasa.

Ketidaktentuan dalam perubahan dasar kerajaan boleh menyebabkan reaksi pasaran yang tidak menentu tetapi hanya dalam jangka masa pendek.

Untuk pengetahuan, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) dikenali sebagai FTSE Bursa Malaysia KLCI bermula dari 6 Julai 2009.

Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM-KLCI) yang menjejaki prestasi 30 buah syarikat tersenarai awam terbesar di papan utama mengikut kedudukan, adalah indeks penanda utama di Bursa Malaysia.

Saya yakin kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) khususnya, telah melakukan satu proses penilaian bagi menilai sejauh mana impak politik global semasa seperti hubungan perdagangan antara AS dan China mampu memberi kesan kepada prestasi ekonomi Malaysia, terutamanya daripada segi pasaran eksport tempatan.

Proses penilaian ini adalah penting bagi memastikan sebarang kejutan luar jangka terhadap pasaran tempatan dapat diminimumkan.

Pada masa yang sama, laporan penilaian akan memberi gambaran yang baik kepada kerajaan dalam usaha bagi merangka strategi untuk mengambil kesempatan terhadap peluang yang mungkin wujud disebabkan krisis perang dagang ketika ini.

Selain itu, kelemahan nilai mata wang Ringgit Malaysia telah secara tidak langsung membantu merancakkan industri eskport dan pendapatan dalam dolar.

Semasa pembentangan Belanjawan 2019 tahun lepas, Kementerian Kewangan telah mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini sebanyak 4.9 peratus, naik 0.1 peratus berbanding tahun lalu.

Pada tahun 2018, tindakan kerajaan yang mengambil keputusan untuk mengurangkan perbelanjaan disebabkan kekangan fiskal di samping penurunan jumlah pelaburan awam dan swasta telah meyebabkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengurangkan unjuran KDNK daripada 5.4 peratus kepada 4.7 peratus.
Oleh yang demikian, langkah proaktif perlu diambil oleh kerajaan tahun ini bagi merancakkan kembali aktiviti pelaburan dalam sektor awam mahupun swasta.

Namun disebabkan kekangan kewangan negara yang mungkin mengambil masa beberapa tahun untuk pilih, sektor swasta peranan penting dalam memacu pembangunan ekonomi negara.

Berdasarkan Laporan Tinjauan Ekonomi 2019, perbelanjaan pertumbuhan sektor swasta dijangka berada pada 6.4 peratus pada 2019, menyumbang kira-kira 72 peratus daripada KDNK.

Penggunaan swasta dijangka kekal sebagai penentu pertumbuhan utama pada 2019, berkembang sebanyak 7.2 peratus, disokong oleh pasaran buruh yang stabil, inflasi tidak berubah dan keadaan kewangan yang kondusif.

Tambahan lagi, pelaburan swasta dijangka akan mencatatkan pertumbuhan tinggi sebanyak lima peratus pada 2019, berikutan perbelanjaan modal dalam sektor pembuatan dan berintensifkan teknologi dan perkhidmatan dalam mendepani Revolusi Industri 4.0.

Pertukaran kerajaan yang berlaku buat pertama kali selepas 60 tahun pada 9 May yang lalu sedikit sebanyak telah mempengaruhi sentimen para pelabur.

Pendirian kerajaan baru yang komited untuk menangani pelbagai isu ekonomi khusunya yang berkaitan dengan kos sara hidup dan membanteras rasuah diyakini mampu meningkatkan ekosistem perniagaan.

Namun begitu, kerajaan perlu berhati-hati dengan perubahan dasar secara drastik yang dilihat mampu memberi kesan buruk kepada masa depan prestasi perniagaan secara keseluruhan.

Hutang kerajaan yang tinggi buat masa ini telah memaksa kerajaan untuk mengurangkan pelaburan dalam sektor awam. Tambahan lagi, rasionalisasi dalam projek awam-swasta dan infrastruktur seperti Mass Rapit Transit (MRT) mampu memberi kesan yang tidak diingini dalam sektor perniagaan 2019.

Pelaburan asing yang meningkat sudah pastinya akan memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara. Peningkatan perbelanjaan dalam negara oleh sektor awam dan swasta juga membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi domestik dan antarabangsa.

Kesejahteraan ekonomi ini seterusnya akan dapat dirasai oleh rakyat daripada segi peluang pekerjaan dan pendapatan per kapita negara. Oleh itu, kestabilan politik menjadi kunci utama dalam memastikan ekonomi negara kekal berdaya saing dan bertambah maju pada masa hadapan.

Penulis adalah Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia dan Anggota Parlimen Johor Bahru

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73202

Posted by on Feb 13 2019. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE