Khalid Ibrahim jangka bertanding di DUN Pelabuhan Klang

(Oleh Norutul Ilham)

SHAH ALAM 13 APRIL: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sedia ‘bertarung’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang (N46) untuk pertahan kemenangan KEADILAN di kerusi berkenaan seperti diamanat parti.

Menurutnya, beliau yang patuh dengan arahan kepimpinan KEADILAN dipilih kerana dianggap sebagai calon ‘heavyweight’ bagi menyakinkan pengundi Pelabuhan Klang.

“Pucuk pimpinan KEADILAN mengharapkan calon yang ‘heavyweight’ untuk menyakinkan pengundi Pelabuhan Klang dan saya diberi amanat oleh pimpinan supaya bertanding di sana.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim

“Saya akan berjumpa penyokong di Pelabuhan Klang esok dan jika mereka menyokong saya bertanding, saya akan bertanding di sana untuk membawa satu kejayaan yang lebih besar untuk Pakatan Rakyat,” katanya pada kenyataan hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, calon KEADILAN, Badrul Hisham Abdullah menang dengan majoriti 4,407 mengalahkan calon BN, Roselinda Abd Jamil dan calon bebas, Nazir Mansor.

Bagaimanapun, pada 29 Oktober 2009, Badrul Hisham mengisytihar keluar parti dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bebas. Kemudiannya pada 30 April 2010, beliau menyerahkan borang menyertai Umno.

“Pakatan melakukan satu kesilapan kerana meletakkan calon yang melompat. Dengan itu, saya berharap saya dapat menebus kesilapan Pakatan dengan memberi perkhidmatan yang lebih baik untuk pengundi Pelabuhan Klang,” jelas Khalid.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya penyokong Ijok memberi sokongan kepada calon dipilih pimpinan parti.

“Saya berharap penyokong Ijok dapat terus menyokong calon yang dipersetujui pucuk pimpinan, dan saya mengucapkan terima kasih banyak atas segala sokongan dan pertolongan mereka dalam lima tahun ini,” kata Khalid.

Beliau turut mencadangkan anak jati Ijok sebagai ganti yang diakui berkelayakan.

“Untuk Ijok, saya mencadangkan seorang anak jati Ijok iaitu Dr Idris (Ahmad), merupakan anak Jawa Ijok dan seorang doktor pakar yang berjuang dalam parti sejak zaman Reformasi.

“Beliau juga Pengerusi Perhubungan Wilayah Persekutuan KEADILAN,” kata Khalid yang juga calon Parlimen Bandar Tun Razak.

Khalid memenangi kerusi DUN Ijok pada PRU 2008 mengalahkan calon BN, Mohamed Sayuti Said dengan majoriti 1,920 undi. – NS

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=50232

Posted by on Apr 13 2013. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google