Khalid sangkal Najib: Tiada permohonan projek perumahan di Felda

SHAH ALAM 6 Dis: Tiada sebarang permohonan kebenaran merancang projek perumahan di Felda Gedangsa di Hulu Selangor dari Kerajaan Persekutuan atau Felda, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid berkata, kerajaan negeri tidak pernah menerima cadangan untuk membangunkan projek perumahan kepada generasi kedua felda seperti yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Jika ada pun permohonan yang diterima, ia hanya melibatkan  permohonan dari Felda untuk melupuskan pemilikan tanah seluas 14.65 hektar di Felda Soeharto bagi tujuan kediaman.

“Kerajaan Negeri bagaimanapun mendapati tanah itu masih terletak di bawah Seksyen 44 Akta Penempatan Berkelompok 1960 yang bermaksud tanah itu masih di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan Adalah salah untuk Perdana Menteri mendakwa Kerajaan Negeri enggan membantu,” kata beliau.

Beliau mengulas kenyataan Najib hari ini yang menyalahkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat kerana didakwa enggan meluluskan projek-projek perumahan di Felda-felda di Hulu Selangor.

Khalid berkata, semakan dengan Jabatan Tanah dan Galian Negeri Selangor juga mendapati terdapat satu cadangan pada awal tahun 1990-an iaitu dari Felda untuk projek pembangunan di Felda Gedangsa.

Bagaimanapun katanya, ia ditolak oleh Kerajaan Negeri Barisan Nasional ketika itu kerana kegagalan projek pembangunan semula di Felda Sungai Buaya.

Khalid juga kecewa kerana Perdana Menteri menyalahkan pihak lain ekoran kegagalan Umno-BN menunaikan janji-janji yang dibuat pada pilihan raya kecil di Hulu Selangor.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk kebaikan rakyat. Kami telah buktikan dengan Projek The Greater Klang Valley dan projek River of Life. Tiada alasan untuk Kerajaan negeri mendiskriminasikan peneroka Felda.

“Malah, lebih 2,000 ekar tanah milik Kerajaan Negeri di Hulu Bernam telah dibangunkan oleh Felda tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri tidak menerima bayaran satu sen pun,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=25246

Posted by on Jan 6 2012. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google