KPDNHEP teliti cara kurangkan harga keperluan utama

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti kaedah untuk menurunkan harga barang keperluan utama selepas pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menterinya yang baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, cara harga barang itu dapat diturunkan hanya dapat diketahui selepas bertemu pihak-pihak yang berkepentingan.

“KPDNHEP sedang meneliti beberapa harga barang kawalan utama, di mana terdapat beberapa barang keperluan yang mempunyai ruang untuk diumumkan penurunan harga.

“Bagaimanapun ia akan diumumkan selepas pertemuan dengan mereka yang terlibat terlebih dahulu,” katanya, memetik temubual beliau bersama Malaysiakini yang disiarkan hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika ditanya tentang cara KPDNHEP untuk menzahirkan manifesto Pakatan Harapan bagi meringankan beban rakyat.

Beliau yang dilantik ke jawatan itu Selasa lalu, berkata kenaikan harga barang adalah salah satu daripada elemen yang menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup.

“Kos sara hidup melibatkan perumahan, pendidikan, pengangkutan, utiliti, makanan dan kesihatan. Sekurang-kuranganya ada enam bahagian yang sebenarnya melonjakkan kos kehidupan.

“Apa yang kita katakan sebelum ini seperti GST, SST baru satu juzuk (dalam menyelesaikan isu kos sara hidup),” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata kementeriannya akan turut meneliti kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Keputusan mengenai perkara itu, katanya akan diberitahu dalam tempoh terdekat.

“Tidak ada arahan untuk kedai itu (KR1M) ditutup, isunya cuma adakah kita mahu ia diteruskan atau sebaliknya (dijenamakan semula).

“Jadi, jika mahu ia disambung komitmen akan diteruskan dari segi koordinasi dan sebagainya. Buat masa ini kita belum buat apa-apa keputusan lagi sehingga saya dapat laporan penuh mengenainya,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=71982

Posted by on Jul 9 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE