KPWKM rangka pelan tangani kahwin bawah umur

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam peringkat akhir menyiapkan Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani gejala perkahwinan bawah umur.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KPWKM, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata langkah itu memerlukan pindaan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 [Akta 303] dengan menetapkan umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.

Katanya, pelan tersebut mengandungi program tindakan melibatkan 61 agensi di peringkat Persekutuan serta negeri dan dijangka dibentangkan dalam memorandum jemaah menteri hujung tahun ini.

“Kerajaan telah mengambil beberapa langkah dalam usaha untuk mengekang perkahwinan bawah umur iaitu melalui perundangan dan mengenal pasti punca-punca berlakunya perkahwinan bawah umur.

“Undang-undang keluarga Islam, termasuk hukum syarak, perkahwinan dan adat negeri, adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri dalam jadual Kesembilan, Bahagian Dua – Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Justeru, menurut beliau, Putrajaya masih memerlukan persetujuan kerajaan negeri sebelum boleh melaksanakannya.

“Draf pindaan sedang dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Manakala Enakmen/Ordinan Undang-undang dan had umur minimum perkahwinan hanya boleh dipinda sekiranya negeri-negeri bersetuju dengan cadangan pindaan tersebut,” katanya.

Wan Azizah berkata demikian semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sewaktu menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) tentang usaha kerajaan menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.

Menurutnya, undang-undang keluarga Islam, termasuk hukum syarak, perkahwinan dan adat negeri, adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri dalam Jadual Kesembilan, Bahagian Dua – Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, sehingga kini hanya negeri Selangor yang telah meminda enakmen berkenaan sementara Wilayah Persekutuan dalam proses pindaan.

“Lima negeri lain yang telah bersetuju untuk meminda adalah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak.

“Masih terdapat tujuh negeri yang tidak bersetuju untuk meminda perundangan berkaitan iaitu di Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.

“Manakala, bagi bukan Islam pula, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk meminda peruntukan berkaitan had umur pendaftaran perkahwinan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].

Katanya, ini adalah kerana undang-undang sedia ada telah diperuntukkan dengan jelas had umur minimum pendaftaran perkahwinan bagi lelaki dan perempuan adalah 18 tahun.

“Pengecualian hanya diberikan kepada perempuan berumur 16 dan 17 tahun yang perlu mendapat kebenaran daripada ketua menteri atau menteri besar,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74314

Posted by on Nov 19 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE