Kritikan Melayu Singapura terhadap Mahathir memalukan

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf menganggap kritikan Melayu Singapura terhadap Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai memalukan dan menyerlahkan  realiti sebenar kegagalan Mahathir mengangkat martabat Melayu di negara ini.


“Kenyataan Dr Mahathir sebelum ini menunding jari mengatakan Melayu Singapura terpinggir tidak berasas kerana beliau sendiri gagal membela orang Melayu termasuk lah  Melayu di Pulau Pinang yang sehingga hari ini bergelut dengan kemiskinan disebabkan dasar Umno-Barisan Nasional.


“Ibarat kuman di seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampak,” ujarnya.


Katanya, pendekatan Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri lebih gemar menanam rasa keyakinan lemah kepada orang Melayu dengan memperlekeh kemampuan mereka.


Ini dapat dilihat dari slogan ‘Melayu mudah lupa’ yang dipopularkan oleh bekas Perdana Menteri itu sendiri, kata Yusmadi.


“Apabila seseorang pemimpin tidak ada keyakinan kepada sesuatu bangsa yang dipimpinnya, itu petanda seorang pemimpin itu gagal kerana hanya melihat kelemahan dari memupuk keyakinan bangsanya seperti apa yang ditulis Syed Hussein Alatas dalam bukunya Myth Of The Lazy Native” ujar Yusmadi.


Sementara itu beliau turut mengkritik kepimpinan Perkasa yang dinaungi Presidennya, Datuk Ibrahim Ali apabila mempertahankan Dr Mahathir dan membuat kecaman balas terhadap Melayu Singapura itu.


“Ini satu lagi contoh pemikiran Melayu yang sempit sedangkan Ibrahim Ali yang berasal dari Kelantan, beliau sendiri gagal mengangkat agenda Melayu Kelantan,” ujarnya lagi.


Berita harian, akhbar Melayu paling berpengaruh di Singapura menyiarkan beberapa surat daripada pembacanya yang mengecam dan mengkritik Tun Dr Mahathir.


Dalam ruangan forum itu, seorang pembaca bernama Haji Salim Ahmad menyatakan ulasan Dr Mahathir yang menuduh Melayu Singapura terpinggir sebagai tidak berasas.


Penulis itu juga mempertahankan kedudukan Melayu Singapura dengan mengatakan kaum itu maju tanpa menagih subsidi.

Manakala kedudukan agama Islam di Singapura katanya terpelihara dan berkembang walaupun ia bukan agama rasmi.


“Kita tidak kontang jenayah, tapi yang ditugaskan beramanah. Rasuah di sini wujud, tetapi tahapnya tidak mengejut. Sumbang mahram itu keji, dahsyat lagi buang bayi. Mat Rempit bukan hambatan, tabiat lepak bukan amalan,” ungkap Salim.


Seorang lagi pembaca, Hajah Kamariah Lim Li Hwa menegur Dr Mahathir supaya menyelidiki dahulu sebelum membuat sebarang kritikan terhadap Melayu Singapura.


Menurutnya, walaupun Singapura bukan negara Islam, kebanyakan undang-undang di Republik itu sejajar dengan ajaran Islam.


Seorang lagi pembaca, Eusope Musawa menulis Melayu Singapura hidup dengan selesa dan ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan kaum lain.


Mereka juga katanya mempunyai kebebasan beragama dan mendapat pendidikan setaraf dengan penduduk lain.


“Tun Dr Mahathir sepatutnya menasihatkan orang Melayu Malaysia agar belajar daripada orang Melayu Singapura bagaimana boleh maju. Saya berharap kenyataan beliau akan membakar semangat orang Melayu setempat untuk terus maju,” tulis Eusope.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=5150

Posted by on Jan 21 2011. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Both comments and pings are currently closed.

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google