KWSP suri rumah bermula 15 Ogos

Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah akan dilaksanakan bermula 15 Ogos dan akan dikenali sebagai Program Sukarela Insentif (SURI), umum Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurutnya, pencarum SURI boleh mencarum minimum RM5 sebulan dalam akaun KWSP masing-masing dan kerajaan pula akan menyumbang RM40 sebulan.

“Buat permulaan, kumpulan sasaran bagi fasa satu terdiri daripada para suri rumah kepada ketua isi rumah. Sasaran ketua isi rumah ialah lelaki berkahwin (bagi setiap isteri-isteri), ibu tunggal dan janda yang berdaftar dengan e-Kasih.

“Kerajaan berhasrat memastikan kebajikan orang ramai. Bagaimanapun, setiap rakyat perlu menunjukkan kesungguhan untuk meningkatkan taraf hidup, Sumbangan minimum RM5 setiap bulan di bawah program ini mewakilkan komitmen daripada orang ramai dan pada masa sama menyemai sifat suka menabung untuk masa hadapan mereka,” katanya hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Presiden KEADILAN itu mengumumkan berita baik tersebut pada Persidangan Sekuriti Sosial Antarabangsa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2018 di ibu negara hari ini.

Tambahnya lagi, caruman kerajaan akan dinaikkan kepada RM50 pada fasa kedua insentif itu.

RM10 lagi pula akan diagihkan untuk perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO).

Fasa ketiga inisiatif ini pula akan melibatkan caruman dua peratus daripada KWSP suami yang akan dimasukkan dalam akaun isteri.

“Untuk sampai ke fasa ketiga ini akan mengambil masa kerana ia memerlukan pindaan dilaksanakan terhadap Akta KWSP 1991. 

“Kita masih meninjau beberapa pilihan untuk tujuan ini, dengan mengambil kira beberapa faktor kewangan dan bukan kewangan,” katanya.

Insentif ini adalah sebahagian daripada 10 Janji Pakatan Harapan yang termaktub dalam Buku Harapan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72157

Posted by on Aug 8 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE