‘Lamb chop’ & 3,000 kad dibawa kepada Menteri tuntut tahanan ISA dibebas

(Oleh Norutul Ilham)

KUALA LUMPUR 14 MAC: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menyerahkan 3,000 kad ucapan orang awam dan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menuntut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapus dan tahanan dibebas.

Setiausaha GMI, Syukri Razab berkata, memorandum tersebut mengandungi beberapa tuntutan berkenaan undang-undang lapuk itu.

“Lebih kurang 12.30 tengah hari tadi, kami bersama 20 peserta mengadakan himpunan aman sambil menyerahkan memorandum dan kad ucapan pelbagai mesej dari rakyat.

ISA“Wakil aktivis mahasiswa turut membawa sepinggan lamb chop sebagai sindiran kepada kenyataan Menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri) ketika tahanan ISA mogok lapar,” katanya kepada Keadilan Daily.

Tahun lepas, semasa tahanan mogok lapar di Kem Kamunting, Hishammuddin merespon tindakan itu dengan mengatakan: ‘Tahanan pilih mogok lapar, saya pilih lamb chop’.

Syukri berkata, GMI menuntut kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kebenaran dan Menambahbaik bagi mengembalikan keadilan kepada tahanan ISA.

Kerajaan juga dituntut memberi pampasan setimpal dengan penganiayaan dialami tahanan dan keluarga.

“Kerajaan juga didesak mendedahkan secara terperinci proses pemulihan dilalui tahanan, di samping mendedahkan laporan keselamatan yang dijadikan penilaian untuk menentukan sama ada tahanan boleh dibebaskan atau tidak.

“Jelaskan apakah penyeksaan dalam tahanan merupakan proses pemulihan yang terpaksa dilalui tahanan,” katanya.

Menurut Syukri, memorandum dan kad ucapan itu diterima Pegawai Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman KDN, Wan Mohd Rumaizi.

Hadir sama himpunan di Putrajaya itu, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Jawatankuasa GMI, Alizah Jaafar, Zumrah Husni dan Nashitah Mohd Nor serta Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Badrul Amin Bahrom.

Turut serta, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Safwan Anang; Gerakan Mahasiswa 13, Syis Abdul Kadir, pro mahasiswa dan kumpulan aktivis anak muda.

Sepanjang berkumpul, 10 polis mengawasi dan memerhatikan tindakan kumpulan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 15 September 2011 semasa berucap sempena sambutan Hari Malaysia mengumumkan akan memansuhkan ISA, namun sehingga kini janji itu tidak ditunai.

Sehingga kini, 22 lagi masih ditahan termasuk lapan warga tempatan. – NS

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=47350

Posted by on Mar 14 2013. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google