Lantik Anwar sebagai TPM sebelum peralihan kuasa

Tiga pertubuhan masyarakat sivil hari ini menggesa agar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melantik Presiden KEADILAN Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri dalam tempoh enam bulan sebelum peralihan kuasa berlaku.

Gesaan yang dibuat Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan pertubuhan proreformasi pilihan raya, Bersih 2.0 itu percaya langkah itu mampu mencegah perpecahan dalam Pakatan Harapan.

“Bagi memastikan kelancaran peralihan, DSAI perlu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri enam bulan sebelum tarikh yang ditetapkan. Dengan pelan peralihan yang jelas, ianya akan memadamkan desas-desus dan teori-teori konspirasi yang dibuat oleh mereka yang ingin mendapat laba daripada ketidakstabilan dan terpecahnya gabungan Pakatan Hrapan,” kata Pengerusi Bersih, Thomas Fann yang membacakan kenyataan gabungan itu dalam sidang media pagi ini.

Seruan ini dibuat sewaktu beberapa pemimpin politik pembangkang dan kerajaan menyuarakan hasrat agar Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga ke hujung penggal pentadbiran Harapan.

Hasrat itu mencetuskan wacana berterusan dalam media tentang peralihan kuasa kepada Anwar seperti dipersetujui parti-parti dalam Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Sementara itu, Thomas Fann berkata gabungan sama turut mencadangkan agar Harapan menetapkan supaya tempoh kuasa perdana menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja.

“Rasional untuk menetapkan had penggal adalah supaya perdana menteri akan datang tidak akan memegang kuasa terlalu lama, yang bukan sahaja akan membawa risiko salah guna kuasa dan rasuah, malah akan menyebabkan kekecewaan serta timbul perasaan antagonis oleh pihak yang berminat untuk memegang jawatan perdana tersebut.

“Penggal PM perlu dimulakan daripada masa perlantikan dan bukannya pada permulaan penggal Parlimen yang baru, melainkan penggal pertama yang tidak bermula dengan parlimen yang baru adalah kurang daripada dua tahun, bagi memastikan penggal maksimum yang dibenarkan dikekalkan kepada dua penggal,” katanya.

Hadir bagi pihak ABIM pada sidang media itu adalah setiausaha agungnya, Faisal Ismail Abdul Aziz sementara Zaid Kamaruddin hadir bagi pihak GBM.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73857

Posted by on Aug 7 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE