Lawatan Najib cuma mahu tangkis skandal diri

Meskipun strategi dan taktik politik menjadi lumrah dalam budaya politik di Malaysia tetapi politik yang keterlaluan sarat propagandanya mengundang kebencian dan kemuakan. Ia tambah buruk jika rakyat diperdayakan dan terus dibebankan.

Jika semuanya dilakukan berlebih-lebihan atau untuk tujuan sempit selain daripada yang digambarkan, maka bukan sahaja ia disindir atau dipermainkan bahkan tak kurang yang menyampah.

Itulah beberapa pandangan terhadap sidang media khas atau tergempar oleh Datuk Seri Najib Razak pada 17 September lalu. Satu antiklimaks atau antikemuncak, dan mungkin juga langkah terdesak.

Itulah juga yang berlaku dalam lawatan kerja Najib ke Rumah Putih bertemu Donald Trump baru-baru ini. Lawatan itu penuh kontroversi sejak mula ia dimaklumkan kerana statusnya yang kurang jelas, dan motif lawatan ketika Najib dikaitkan dengan skandal 1MDB yang disiasat AS.

Walaupun dikatakan lawatan itu untuk mengeratkan hubungan dua hala serta kerjasama dalam isu serantau dan antarabangsa, ia satu penghinaan kepada rakyat Malaysia apabila seorang perdana menteri yang digelar kleptokrat dan “MO1” bertemu Presiden AS tanpa cuba – selama bertahun-tahun – untuk membersihkan dirinya daripada tuduhan perompak global.

Ini boleh dikatakan muka tebal tahap tertinggi! Tiada sesiapa boleh menandingi tahap ketebalan muka Najib dalam hal ini. Barangkali kerana itulah beliau berbangga dengan pencapaian berkenaan dan menyebutnya dalam ucapan sebaik kembali ke tanah air.

Menurutnya, walaupun pembangkang mengatakan beliau tidak berani ke AS kerana takut ditangkap tetapi presiden AS dan negara kuasa besar itu menerimanya dengan sambutan dan pengiktirafan yang di luar dugaan.

Malah beliau mengatakan sambutan ke atasnya jauh lebih baik berbanding apa yang diterima Tun Dr Mahathir ketika bertemu Presiden Bush dahulu.

Najib juga menganggap lawatannya itu bukan untuk melutut kepada AS tetapi menyatakan negara sudah sampai ke peringkat global.

Cakap-cakap begini mungkin hebat bunyinya namun ia membenarkan telahan ramai sebelum ini bahawa lawatan berkenaan sebahagian daripada rancangan untuk menangkis imej buruk yang terpalit ke atas Najib melalui skandal 1MDB.

Beliau perlu merangsang popularitinya yang merudum untuk meningkatkan peluang kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Dikritik media US

Ia kerana skandal 1MDB dengan wang yang lesap berpuluh ribu juta ringgit sudah tersohor seantero dunia hinggakan sebahagian besar media antarabangsa dengan jelas memetik pertemuan Trump dengan Najib sebagai pertemuan dengan seorang yang terbabit dengan skandal berbilion dolar.

The New York Times umpamanya menyiarkan berita bertajuk “Malaysian Leader in Billion-Dollar Scandal Is Invited to White House” (Pemimpin Malaysia Yang Terlibat Skandal Berbilion Dolar di Jemput ke Rumah Putih) manakala The Washington Post menyebut “Trump’s hosting of Malaysia’s prime minister marks another setback for the rule of law” (Trump sebagai tuan rumah kepada Perdana Menteri Malaysia menandakan satu kemunduran kepada kedaulatan undang-undang).

Di sebalik laporan dan persepsi negatif begini, apakah mahar yang terpaksa dibayar untuk rancangan hebat Najib ini supaya menjadi kenyataan?

Pertama, kemungkinan besar Datuk Seri Najib membayar pelobi berjuta ringgit untuk memastikan boleh bertemu dengan Trump. Beliau membandingkan dirinya dengan Dr Mahathir yang juga membayar pelobi untuk bertemu Bush, tetapi tidak menafikan beliau juga melakukan perkara yang sama. Dari mana datangnya duit untuk bayar pelobi?

Kedua, sebagai timbal balik untuk berlakunya pertemuan tersebut dan tidak membangkitkan isu skandal 1MDB, sudah tentu AS juga ingin menuntut atau mendengar manfaat kepadanya. Bahasa badan Presiden Trump dengan gaya berpeluk tubuh seolah-olah mahu memecat orang sudah cukup untuk menggambarkannya.

Lantas, jika ditonton video perjumpaan Trump dan Najib, maka dapat dilihat dan didengar secara jelas bahawa perdana menteri seolah-olah membawa ufti atau hadiah untuk dipersembahkan.

Ayat membodek Datuk Seri Najib kepada Trump ialah: “Number one, we want to help you in terms of strengthening the US economy. I come with three specific proposals.” (Nombor satu, kami ingin membantu daripada segi mengukuhkan ekonomi AS. Saya datang dengan tiga syor khusus).

Tiga syor yang dijanjikan oleh Datuk Seri Najib ialah:

  1. Pembelian pesawat-pesawat baru Boeing oleh MAS dan memujuk AirAsia membeli enjin General Electric (GE) untuk pesawat mereka.
  2. Mengarahkan KWSP membawa masuk wang sehingga RM16 bilion untuk membiayai pembangunan prasarana di AS, dan
  3. Menambah lagi pelaburan Khazanah di AS daripada RM1.6 bilion yang sedia ada.

Semua perkara yang dibincangkan melibatkan wang rakyat Malaysia yang akan dibawa dan dilabur ke AS serta membiayai projek-projek prasarana di AS. Tidak disentuh pula soal AS melabur di Malaysia.

Meskipun dikatakan tiga syor itu dalam rangka mengukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan AS serta hanya menambahkan pelaburan yang memberikan pulangan yang baik, namun masa untuk tindakan itu amat buruk. Dan motifnya amat mencurigakan.

Perincian lawatan mencurigakan

Dalam keadaan rakyat Malaysia terpaksa menanggung beban cukai GST atau cukai pendapatan dan kos sara hidup yang tinggi akibat kenaikan harga barang, syor Najib untuk membantu mengukuhkan ekonomi AS dengan menggunakan wang rakyat Malaysia amatlah menjelikkan.

Ada lagi beberapa perkara yang perlu diteliti rakyat dalam lawatan Najib ke AS. Ia dihuraikan oleh Rafizi Ramli, Naib Presiden KEADILAN dalam siri sidang medianya.

Antaranya ialah penginapan Datuk Seri Najib dan keluarga di Trump Tower, New York. Oleh kerana ia bukan lawatan rasmi maka penginapan di kondominium mewah itu tidak dibayar US.

“Berapa kos sewaan keseluruhannya dan siapa yang menanggung kos itu?” soal Rafizi.

Menurut Rafizi, hasil daripada semakannya, sewa kondominium mewah di Trump Tower ini bermula pada harga AS$6,000 (RM25,000) satu malam bagi kondominium satu katil dan AS$9,000 (RM37,000) semalam bagi kondominium dua katil.

Di samping itu, Rafizi mendakwa delegasi Malaysia ke AS turut disertai oleh seorang individu yang pernah dikenal pasti bertanggungjawab memasukkan RM2 juta ke akaun peribadi Datin Seri Rosmah Mansor.

“Kenapa dia menyertai delegasi ini sehingga sebuah limosin ditempah khusus untuk beliau?” soal Rafizi.

Dakwanya, berdasarkan laporan-laporan oleh media antarabangsa, individu terbabit memang dikaitkan dengan siasatan Jawatankuasa Khas Siasatan 1MDB (yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia – SPRM, Polis Diraja Malaysia – PDM, Bank Negara dan Peguam Negara) pada 2015 kerana memasukkan RM2 juta wang tunai ke akaun Rosmah.

Amatlah jelas lawatan Najib ke AS lebih berupa amalan perhubungan awam mega untuk kepentingan peribadi yang tidak menguntungkan rakyat. Malah rakyat yang menanggung bebannya.

Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan KEADILAN

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70530

Posted by on Sep 19 2017. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE