Lawatan TPM ke China capai matlamat kukuh hubungan dua hala

Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke China selama empat hari berjaya mencapai matlamat untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Menerusi lawatan itu, Dr Wan Azizah berjaya meneroka kerjasama dalam mempelajari teknologi terkini dan kepakaran yang dimiliki republik berkenaan dalam beberapa bidang.

“Saya telah meminta agensi-agensi Malaysia yang berkenaan untuk mengambil tindakan susulan dengan agensi-agensi China yang berkaitan untuk memastikan persetujuan yang dicapai akan terlaksana,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia, di Beijing.

Sebelum itu, Dr Wan Azizah melawat Pusat Pemulihan dan Penyelidikan Masalah Pendengaran dan Percakapan bagi Kanak-Kanak di China sebagai agenda terakhir dalam lawatan beliau.

Katanya, beliau turut tertarik dengan kepakaran China yang mampu mengesan sebarang masalah dan ketidakupayaan bayi seawal berusia tiga bulan.

“Di sini mereka mampu mengesan masalah lebih awal, merawat dan memulih selain melakukan penyelidikan dan menyediakan perkhidmatan ‘home school’ kepada mereka yang tidak berupaya ke sekolah.

“Kaedah yang diamalkan ini boleh kita amalkan di negara kita dan pusat itu menawarkan untuk membantu kita mencapai hasrat itu dan ini antara perkara yang akan kita perhalusi,” katanya.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, persetujuan juga dicapai untuk mempertingkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan terutamanya dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Selain itu, China telah menzahirkan kesediaan untuk mengimport lebih banyak produk agro-komoditi Malaysia termasuk kelapa sawit dan getah di samping memperkukuhkan lagi kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pertanian, lapor Bernama.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73756

Posted by on Jul 12 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE