Lembaga Disiplin akan siasat semua insiden pemilihan

Lembaga Disiplin KEADILAN akan menyiasat semua insiden yang berlaku semasa proses pemilihan parti di seluruh negara, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil.

Bercakap menerusi satu kenyataan, ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga memberi amaran bahawa mereka yang terlibat perlu bersedia berdepan sebarang tindakan dari parti.

“Biro Politik KEADILAN juga telah mengarahkan Lembaga Disiplin parti untuk segera menyiasat semua insiden kekacauan dan gangguan yang berlaku sewaktu proses pemilihan berjalan. 

“Mereka yang didapati terlibat dalam sebarang aktiviti atau tindakan yang melanggar disiplin parti akan dikenakan tindakan tegas.

“Pada masa yang sama, semua anggota yang telah dipecat atau digantung keanggotaan sebelum ini adalah ditegah sekeras-kerasnya dari terlibat dalam proses pemilihan parti termasuk berkempen untuk mana-mana pihak,” kenyataan itu dipetik.

Sementara itu, Fahmi turut mengumumkan bahawa keanggotaan cabang Julau yang menjadi pertikaian sebelum ini adalah sah kerana ia mematuhi prosedur pendaftaran keahlian.

“Bagi tujuan pemilihan parti, tarikh akhir penerimaan permohonan keanggotaan baharu ialah 26 Jun 2018. 

“Biro Politik KEADILAN dimaklumkan bahawa jumlah besar permohonan keanggotaan baharu bagi cabang Julau telah diterima ibu pejabat KEADILAN pada 12 Jun 2018.

“Pada 25 Jun, mesyuarat khas MPP telah menurunkan kuasa kepada Biro Politik untuk mengesahkan senarai akhir permohonan keanggotaan baharu. 

“Senarai tersebut telah disahkan Biro Politik pada 27 Jun, dan kemudiannya diserah kepada setiap cabang untuk semakan dan bantahan, yang tamat pada 17 Julai 2018. 

“Sehingga tarikh tersebut, ibu pejabat KEADILAN tidak menerima sebarang bantahan dari mana-mana pihak terhadap permohonan keanggotaan baharu di cabang Julau.

“Oleh itu, berdasarkan fakta-fakta ini, dan memandangkan tiada pelanggaran proses dalam kes ini, Biro Politik KEADILAN dimaklumkan bahawa permohonan keanggotaan baharu di cabang Julau adalah sah,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72516

Posted by on Nov 8 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE