Mahathir seolah-olah akui Malaysia negara polis- Suhaimi Said

KUALA LUMPUR: Suhaimi Said, salah seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sewaktu Operasi Lalang 1987 menyangkal dakwaan Tun Mahathir yang mengatakan beliau tidak pernah mengarahkan polis melakukan operasi tersebut.

Suhaimi, yang kini merupakan Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN mempersoalkan motif Mahathir menyalahkan pihak polis sedangkan selaku Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada masa itu, Mahathir sepatutnya bertanggungjawab.

“Kalau betul dia tak setuju, kenapa selepas 60 hari ditahan pada tahun 1987, kami tidak dibebaskan pada masa itu ? Kenapa dia tandatangan arahan penahanan selama dua tahun tersebut ?” soal Suhaimi yang ditahan dua kali di bawah ISA iaitu pada tahun 1985 dan 1987 sewaktu Operasi Lalang.

Menurut Suhaimi, kenyataan Mahathir  tidak terlibat memberi arahan kepada polis untuk melakukan Ops Lalang, seolah memberi gambaran dan mengakui Malaysia ketika itu berada di bawah kuasa polis.

“Institusi polis, akta ISA semuanya di bawah tanggungjawab Menteri Dalam Negeri. Kalau Mahathir kata dia tak pernah bersetuju, itu pengakuan yang tidak jujur,” kata Suhaimi.

Ops Lalang yang berlaku pada 27 Oktober 1987 menyebabkan seramai 106 individu, majoriti ahli politik pembangkang ditahan dan 49 daripadanya disambung penahanan selama dua tahun di bawah ISA.

Ia dilakukan kerajaan kononnya bagi mengelakkan tercetus rusuhan  berikutan ucapan berbaur perkauman yang dikeluarkan ahli-ahli politik.

Namun pembangkang menafikan ia sebagai taktik Mahathir memangsakan ahli-ahli politik pembangkang berikutan krisis kepimpinan Umno yang memperlihatkan pertembungan antara regu Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah- Musa Hitam

waktu itu.

Ini kerana ramai pimpinan tertinggi Umno-BN yang mengeluarkan kata-kata perkauman tidak ditahan pada masa tersebut.

Antaranya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu merupakan Ketua Pemuda Umno yang menyeru orang Melayu di Kampung Baru supaya membasahkan keris dengan darah orang Cina.

Selain itu, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga bekas Menteri Besar Perlis berpesan kepada orang Melayu agar ke Kuala Lumpur dengan membawa senjata sekurang-kurangnya sekotak mancis api.Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai pula pada masa tersebut menuntut supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada orang Cina.

Mahathir di dalam buku tulisan Tom Plate, ‘Doctor M: Operation Malaysia – Conversations with Mahathir Mohamad’ sebelum ini mendakwa beliau pada asalnya bercadang menangani Operasi Lalang dengan cara berbeza.

Namun, polis bertegas meneruskan operasi itu sedangkan beliau sendiri sebelumnya menemui pemimpin pembangkang memberi jaminan supaya mereka tidak ditangkap.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang turut ditahan dalam operasi itu, semalam tampil membuat penafian Mahathir pernah menemui mana-mana pemimpin pembangkang sebelum tangkapan dibuat.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=6604

Posted by on Feb 10 2011. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Both comments and pings are currently closed.

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE