Manifesto 10 minit: SPR jangan jadi alat Umno BN

(Oleh: Aliff Fikri)

 

KUALA LUMPUR 29 Mac:  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diseru agar tidak terus menjadi alat Umno BN, sebaliknya berfungsi secara bebas, kata Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Sim Tze Tzin.

Beliau mengulas kenyataan  Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang kononnya kesal kerana Pakatan Rakyat menolak tawaran bagi membentangkan manifesto selama 10 minit di RTM.

Pakatan sebelum ini menyifatkan tempoh  ditawarkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim itu sebagai tidak munasabah.

“SPR sepatutnya bebas dan tidak partisan, tapi tindak tanduk mereka ini mirip menyokong penuh Umno BN.  Saya menyarankan SPR supaya bertaubat dari terus melakukan ketidakadilan dan tidak berterusan menjadi alat Umno BN,” ujarnya ketika dihubungi.

Sebaliknya, kata Sim Tze Tzin, suruhanjaya itu sepatutnya mendesak RTM atau stesen swasta seperti TV3 memberi peluang adil kepada Pakatan Rakyat membentang manifesto mereka.

“Sekurang-kurangnya, berikan siaran minimum 1 jam dan benarkan debat antara parti,” katanya sambil merujuk kepada kebebasan media luar negara seperti Turki.

Tambahnya, sekiranya Pakatan bersetuju tawaran itu, ia tetap tidak bermakna jika bahagian tertentu siaran itu diedit terlebih dahulu.

“Kita mahukan ia disiarkan secara siaran langsung, bukannya diedit kerana kita tidak ada keyakinan terhadap RTM yang memiliki rekod (kebebasan media) yang buruk,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyahut debat dari Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan disiar secara langsung sebagai bukti negara mengamalkan demokrasi.

“Di Amerika Syarikat, ia disiarkan untuk tontonan rakyat dan dijalankan selama 1 jam, 3 siri.

“Kenapa di negara kita tidak boleh? Najib wajib berdebat dengan Anwar dan mesti disiarkan untuk dilihat oleh seluruh rakyat, ini baru adil.

“Najib sebelum ini mengatakan mahu menjadi Perdana Menteri yang terbaik didunia, tapi perilakunya tidak mengambarkan beliau merupakan pemimpin yang terbaik,” tegasnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=48623

Posted by on Mar 29 2013. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE