Manifesto Pakatan: Analisa BN tidak berasaskan unjuran kewangan tepat – Rafizi

Saya telah berjaya mendapatkan analisa sulit oleh Barisan Nasional mengenai bidasan-bidasan yang digunakan selama ini oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan Barisan Nasional yang mengemukakan angka-angka yang menakutkan rakyat.

mANIFESTO RAKYATAngka-angka ini termasuklah kononnya Manifesto Rakyat akan menyebabkan defisit negara melambung hingga 13.2 peratus, atau pelaksanaan Manifesto Rakyat akan menyebabkan kerajaan terpaksa berhutang untuk membayar gaji dan lain-lain.

Selama ini, saya tertunggu-tunggu Barisan Nasional membentangkan analisa kewangan yang digunakan untuk membuat kesimpulan unjuran-unjuran yang menakutkan rakyat itu. Sehingga kini, tidak ada seorang pimpinan Barisan Nasional pun yang tampil mempertahankan hujah kewangan.

Jumaat lepas, saya menerima dokumen sulit yang memberi maklumat penuh kira-kira dan unjuran kewangan yang selama ini digunakan oleh Barisan Nasional, yang saya sertakan bersama. Sepanjang minggu ini, saya akan menjawab kembali kira-kira dan unjuran kewangan yang digunakan Barisan Nasional ini dan membuktikan bahawa analisa kewangannya dibuat atas asas dan andaian yang salah.

Sebagai contohnya, Barisan Nasional menganggarkan bahawa belanja mengurus di bawah Pakatan Rakyat (apabila program-program yang dimuatkan di dalam Manifesto Rakyat dilaksanakan) akan mencecah RM270 bilion setiap tahun. Anggaran kos yang diunjukan Barisan Nasional untuk membiayai program-program Manifesto Rakyat adalah RM73 bilion setahun (iaitu RM68 bilion dalam belanja mengurus dan RM5 bilion dalam belanja pembangunan setiap tahun).

Asas anggaran Barisan Nasional bahawa belanja mengurus akan mencecah RM270 bilion adalah berdasarkan perbelanjaan dan keborosan Barisan Nasional yang sedia ada, iaitu belanja mengurus setinggi RM202 bilion setiap tahun. Asas ini adalah tidak tepat kerana ia tidak mengambil kira 2 strategi Pakatan Rakyat untuk mengawal perbelanjaan dan mendapatkan nilai terbaik dari wang rakyat seperti berikut:

1.      Menghentikan perbelanjaan melebihi belanjawan yang diluluskan setiap tahun, yang kini mencecah RM20 bilion setiap tahun

2.      Menghentikan ketirisan dan rasuah dengan sasaran menjimatkan 10% dari perbelanjaan di bawah kawalan Kerajaan Persekutuan yang dianggarkan bernilai RM250 bilion; yang akan memastikan peruntukan RM25 bilion hasil penjimatan dapat digunakan untuk membiayai program-program manifesto

Dua langkah ini, yang langsung tidak diambil kira oleh Barisan Nasional di dalam analisa kewangannya sudah pasti akan menurunkan perbelanjaan mengurus sedia ada. Maknanya, apabila Pakatan Rakyat mengambil alih, sudah tentu penjimatan yang berlaku membolehkan lebih banyak dana dibelanjakan untuk rakyat bagi menampung lebih banyak program.

Kegagalan Barisan Nasional mengambil kira sasaran penjimatan ini menunjukkan bahawa analisa kewangan Barisan Nasional yang digunakan untuk membidas Manifesto Rakyat adalah tidak tepat, menyeleweng dan berniat jahat.

Selepas ini, saya akan bentangkan lebih banyak kepincangan-kepincangan analisa kewangan yang digunakan oleh Barisan Nasional, termasuklah perbandingan kos program Manifesto Rakyat yang dibuat Barisan Nasional.

Saya tidak hairan kenapa kewangan negara menjadi lebih buruk di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana beliau dikelilingi penasihat kewangan yang tidak tahu pun bagaimana membuat unjuran kewangan yang tepat.

 

RAFIZI RAMLI

Pengarah Strategi

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=50456

Posted by on Apr 15 2013. Filed under KENYATAAN MEDIA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google