Masalah dadah: Nurul desak KDN duduk semeja

Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar menyahut seruan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk duduk semeja bagi mencari penyelesaian kepada masalah dadah di sekolah.

Menurutnya, statistik terkini timbalan menteri KDN yang mengesahkan seramai 1,475 pelajar positif dadah pada 2015 mengesahkan kebimbangannya dan pembangkang selama ini.

“Saya menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan tarikh untuk kita duduk berbincang secepat mungkin bagi menjawab semua persoalan dan melahirkan cadangan bernas dalam usaha menangani bahaya dadah yang mengancam anak-anak kita,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Nurul, beliau risau dengan keseriusan kerajaan menangani masalah ini memandangkan dua agensi utama negara iaitu Kementerian Pendidikan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengeluarkan statistik berbeza mengenai gejala ini di sekolah.

Menurutnya, timbalan menteri pendidikan berkata masalah ‘mencuba’ dadah di peringkat sekolah sehingga Mei 2017 berada pada tahap rendah dengan jumlah pelajar terlibat seramai 1,345 orang.

Ia berbeza dengan statistik AADK yang mencatatkan seramai 1,595 orang pelajar berumur antara 16 hingga 19 tahun terlibat dengan masalah ini sehingga 2016.

“Mengapa wujudnya kontradiksi antara dua kementerian utama dalam negara?

“Jelasnya fakta dan statistik yang dikeluarkan polis dan AADK memperlihatkan dasar ‘sekolah bebas dadah 2012 dan negara bebas dadah 2015’ gagal dicapai kerajan pemerintah BN,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menggesa Putrajaya agar memperhalusi semula modul pencegahan dadah di peringkat sekolah dan mencontohi pendekatan Iceland dalam menangani masalah tersebut.

“Mengambil iktibar daripada dasar negara Iceland, penglibatan pelajar dalam sukan selepas sekolah membantu anak muda mencegah dadah.

“Dasar ini melahirkan remaja Iceland yang paling tinggi mengamalkan gaya hidup sihat di Eropah,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70616

Posted by on Oct 9 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE