Mat Indera kawan rapat, hampir menikah kakak Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Muhammad Indera, bukan sahaja pernah menjadi murid kepada bapa Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi juga hampir menikah dengan anak perempuan ulama tersohor di Johor itu.

Perkara itu dipetik pada satu pertemuan bersama adik bongsu Mat Indera, Johan Indera di rumahnya di Yong Peng, Johor baru-baru ini oleh blog wargamarhaen.blogspot.

Menurut Johan atau mesra dipanggil pak Johan, Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Haji Yassin juga dikenali sebagai Tok Guru Haji Yassin yang amat terkenal di Bakri dan Pancor, Muar.

Menurut blogger berkenaan, Pak Johan telah berkongsi satu rahsia bahawa Mat Indera pernah berkawan dengan  Noraini Yassin yang  juga kakak kepada Muhyiddin.

“Perhubungan mereka membawa kepada usaha Mat Indera untuk masuk meminang, bagaimanapun ditolak oleh ayahnya (Mat Indera) kerana merasakan perbezaan taraf mereka. Masakan seorang guru agama biasa mahu dipadankan dengan anak seorang Tok Guru yang tersohor,” tulis blogger itu.

Selain Haji Yassin, Mat Indera juga pernah berguru dengan Kiyai Haji Fadzil Bentan yang menjadi salah seorang guru dan penasihat Sultan Johor, Sultan Ibrahim.

Menurut Pak Johan, ia menjadi faktor Sultan Ibrahim enggan menandatangani surat hukuman gantungnya selepas Mat Indera ditangkap penjajah British.

Sementara itu Ketua Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kaiat turut menyatakan perkara sama selepas bertemu Pak Johan bersama Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Menurut Suhaizan, Mat Indera pernah menegaskan bahawa beliau bukan komunis dalam pertemuan terakhir dengan Johan di Penjara Air Molek, Johor Bahru.

“(Sebaliknya) British (yang) tuduh Mat Indera Komunis,” ujarnya di laman sosial Facebook.

Suhaizan turut menyenaraikan beberapa fakta yang kurang diketahui tentang Mat Indera, antaranya Indera anak kedua daripada lapan adik beradik dan ibunya meninggal ketika Johan berusia dua tahun.

Johan, bapa Mat Indera, ibu tiri dan neneknya juga dikatakan diseksa oleh British dan dibuang daerah ke Singapura selama 5 tahun daripada tahun 1950 hingga 1954.

British juga menawarkan wang sebanyak $25,000 sebelum Peristiwa Bukit Kepong untuk menangkap Mat Indera. Selepas peristiwa itu, tawaran dinaikkan kepada $75,000.

Mat Indera datang ke Bukit Kepong di saat akhir peristiwa tersebut dan tidak terlibat dalam serangan tersebut, sebaliknya pernah menyelamatkan anggota polis pada masa itu yang bernama Yusof Rono.

Beliau yang tidak pernah berkahwin digantung di Kampung Jambu Air, Taiping pada tahun 1953 dan kuburnya diasingkan daripada kubur utama selepas dihukum mati oleh British.

Salasilah keluarganya dikatakan berasal dari keturunan Datuk Bentara Husin Lela, Pahlawan Siak Seri Inderapura yang pernah menjadi panglima kanan Sultan Sharif di Siak.

Mat Indera dilahirkan pada tahun 1920 di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=19819

Posted by on Sep 6 2011. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google