MEA sambut baik semakan semula ECRL

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali menyambut baik semakan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan.

Timbalan Presiden merangkap Anggota Parlimen Gombak itu menyifatkan jajaran baharu ECRL mampu mempertahankan faktor budaya, warisan dan alam sekitar di Malaysia.

“Kerajaan negeri juga sedia maklum akan bantahan dan aduan yang dikemukakan oleh penduduk tempatan memandangkan cadangan jajaran ECRL yang lama akan melalui kawasan hutan simpan di sempadan Selangor dan Pahang, kampung tradisi, kawasan perumahan dan komersial.

“Keputusan ini dimuktamadkan antaranya dengan mengambil kira pandangan Selangor seperti diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 24 Januari 2018 untuk tidak membenarkan pembangunan jajaran ECRL melalui kawasan Permatang Kuartza, Gombak yang disenaraikan dalam Senarai Tentatif Warisan Dunia UNESCO.

“Justeru, keputusan kerajaan Persekutuan ini bermakna pembinaan terowong sepanjang 18 kilometer merentasi kawasan Permatang Kuartza yang merupakan “pure quartz dyke” dapat dielakkan sekaligus mempertahankan faktor budaya, warisan dan alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin berkata semakan semula ini bukan hanya menyelamatkan aset negara malah mampu mengurangkan kos pembinaan.

“Jajaran baharu sejauh 640 kilometer berbanding jajaran dahulu sejauh 688 kilometer ini telah berjaya mengurangkan kos daripada RM95.5 juta kepada RM68.7 juta setiap kilometer.

“Justeru saya yakin, keputusan kerajaan ini bukan sahaja dapat menjamin pembangunan prasarana sosial yang berkualiti untuk rakyat, bahkan ia akan memacu pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan serta membuka pelbagai peluang ekonomi dalam rantaian nilai.

“Selain itu, keazaman kerajaan untuk meneruskan projek ini akan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat serta meningkatkan kadar keterhubungan logistik dan rakyat,” jelasnya.

Jajaran semula itu mengelakkan Rabung Kuarzit Klang Gates di Gombak Selangor, sebuah daripada rabung kuarza tulen terpanjang di dunia.

Sebelum ini, jajaran asal ECRL akan melalui Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum menuju ke Selangor melalui Gombak dan ke Serendah serta Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, ia sekarang tidak lagi akan melalui Bentong dan Gombak sebaliknya ia menuju ke selatan melalui Mentakab ke Kuala Klawang di Negeri Sembilan sebelum memasuki Selangor melalui Bangi serta Kajang dan kemudian menuju ke Putrajaya Sentral dan akhirnya ke Pelabuhan Klang.

Dengan jajaran baru ini Laluan Ekspres KLIA (ERL) yang sedia ada, serta laluan MRT2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya pada masa depan akan membolehkan lebih banyak negeri mengambil bahagian dalam manfaat ekonomi hasil daripada perjanjian yang ditambah baik itu.

Kerajaan Persekutuan mengumumkan pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL berjaya dikurangkan RM21.5 bilion berbanding kos asalnya pada RM65.5 bilion.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73322

Posted by on Apr 16 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE