MEA utamakan sara hidup peneroka, tiada duit Raya

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali berkata Putrajaya tiada perancangan untuk menghulurkan duit Raya kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya, Pakatan Harapan menumpukan sumber kewangan kepada Felda menerusi rancangan pemulihan bernilai RM6.23 bilion yang diumumkan baru-baru ini.

“Setakat ini tidak ada, kerana kita nak salurkan dulu pinjaman sara hidup dan juga pendahuluan hasil.

“Saya bertemu dengan Felda minggu lalu, saya mahu pastikan semua wang pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil ini mesti disalurkan sebelum hari raya,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Surau Jabal Nur di Taman Seri Gombak, semalam.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan wartawan berkenaan duit Raya untuk peneroka Felda.

Katanya lagi, kerajaan akan mengutamakan langkah-langkah jangka panjang untuk membela Felda berbanding pemberian tunggal seperti duit Raya.

“Pada ketika ini saya tak mahu berikan sebarang janji kerana untuk mendapatkan RM6.23 bilion pun satu perkara yang amat besar bagi kerajaan kerana beban hutang yang besar.

“Dan kita tak mahu perbelanjaan yang tidak dapat memberi manfaat kepada peneroka Felda.

“Saya kira keutamaan kerajaan ialah untuk lihat bagaimana nasib dan kebajikan peneroka ini dapat dibela untuk jangka panjang.

“Maka itu pun kita telah selesaikan dalam kertas putih baru-baru ini yang menelan belanja yang besar, RM6.23 bilion.

“Bagi saya itu keutamaan yang harus diberikan perhatian kerana kita mahu satu penyelesaian yang sustainable, jangka panjang dan bukan secara bagi sedikit-sedikit (piecemeal) dan tidak membantu masa depan peneroka,” katanya lagi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73509

Posted by on May 23 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE