Memasang Bendera Salah (Oleh Hishamuddin Rais)

Memasang Bendera Salah

Oleh Hishamuddin Rais

Pada bulan Jun 2001, saya telah dibawa ke Kamunting sebagai tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Di Kamunting saya bertemu, bersuai kenal dan bercerita panjang dengan tahanan-tahanan dari kumpulan Al-Maunah. Anggota Al-Maunah ditahan lebih awal dari saya.

Biar saya ingatkan kembali kenapa lebih 20 orang warga Al-Maunah ditahan di Kamunting. Mereka ditahan kerana berlaku apa yang dikatakan rompakan bersenjata Bukit Jenalik pada 2 Julai 2001. Sebanyak limimage (1)a tan senjata diangkut masuk ke dalam tiga buah Pajero. Senjata ini dibawa ke Bukit Jenalik – tempat perkhemahan kumpulan Al-Maunah – satu kumpulan silat.

Ketika kejadian, dunia belum melihat blog, twitter atau facebook. Hanya ada laman Mahazalim dan Malaysiakini. Laman-laman ini terutama laman Mahazalim telah ‘menembak’ kisah dongeng ini sehinggakan tiada sesiapa pun percaya versi United Malays National Organisation.

Lawak seram Al-Maunah ini menjadi bodoh kerana senjata lima tan boleh dimasukkan ke dalam Pajero dalam masa 15 minit. Najib Razak yang ketika itu Menteri Pertahanan bersungguh-sungguh cuba membuktikan cerita kentut kerbaunya. Maka sandiwara ‘rompakan’ diulang pementasan sekali lagi di kem askar di Kuala Lumpur untuk disaksikan media. Sandiwara kentut kerbau ini sebenarnya dipentaskan kerana orang Melayu ketika itu turun ke jalan raya untuk menyingkirkan Mahathir Anak Lelaki Iskandar Kutty.

Rompakan di Sauk ini bertujuan untuk menakut-nakutkan orang Melayu agar jangan berani turun berdemo. Hujahnya amat senang – jika orang Melayu turun berdemo, maka akan berlaku kacau-bilau. Ada kumpulan-kumpulan sulit yang akan ambil kesempatan untuk menambah kacau. Justeru, kumpulan silat Melayu bernama Al-Maunah dijadikan mangsa – dituduh hendak melawan Yang DiPertuan Agong.

Dari perbincangan saya dengan ahli Al-Maunah dalam kem Kamunting, semuanya menerima hakikat bahawa mereka diperangkap untuk datang ke Sauk. Ada yang dipanggil kerana program ceramah agama. Ada yang dipanggil kerana hendak buat latihan silat. Ada yang dipanggil untuk jumpa-jumpa. Tidak timbul hal rompakan senjata. Tidak timbul agenda lawan Yang DiPertuan Agong. Jelas kes Al-Maunah adalah sandiwara Mahathir Anak Lelaki Iskandar Kutty.

Al-Maunah ini kes terbaru. Saya mahu membawa pembaca kepada ke zaman Konfrontasi: 1963-1965. Mengikut buku tulisan Said Zahari bekas Ketua Pengarang Utusan, Tunku memberitahu bagaimana pegawai tentera British meminta soldadu Malaysia mengebom kapal HMS Eagle yang berlabuh di Selat Melaka. Tulisan Said ini disahkan oleh Yap Chin Kwee, Setiausaha Politik Tunku Abdul Rahman.

Rancangan British untuk meletupkan kapal perangnya sendiri bertujuan untuk menyalahkan Indonesia dan Sukarno. Jika ini berlaku, maka Malaysia boleh mengisytihar perang terhadap Indonesia dan kuasa imperialis Anglo-Amerika akan masuk campur sama.

Dalam istilah politik, kes Bukit Jenalik dan HMS Eagle ini dipanggil ‘memasang bendera salah’. Konsep ini bermula kerana lanun di laut sering menggunakan bendera kapal orang lain ketika menjalankan rompakan. Dalam kes Bukit Jenalik, bendera itu adalah bendera Al-Maunah. Dengan perancangan licik, orang Melayu dan rakyat Malaysia ditakut-takutkan dengan kemungkinan berlakunya kacau-bilau.

HMS Eagle gagal diletupkan kerana Tunku menolak rancangan jahat ini. Tetapi dalam surah strategi ‘memasang bendera salah’ ini, dunia tidak akan melupakan kes Teluk Tonkin. Teluk Tonkin menjadi contoh terbaik rujukan dan kajian ‘memasang bendera salah’.

Pada 2 Ogos 1964, dunia gempar dengan berita kapal perang Amerika USS Maddox yang berlabuh di Teluk Tonkin diserang tentera laut Vietnam Utara. Satu dunia heboh. Warga Amerika bangun pagi terperanjat melihat induk berita akhbar – Amerika diserang. Warga Amerika bingung memikirkan bagaimana negara sekecil Vietnam Utara berani menyerang kuasa tentera terbesar dalam dunia.

Dewan Senat dan Dewan Kongres mengadakan sidang tergempar. Dengan sebulat suara, elit politik Amerika meluluskan: ‘Gulf of Tonkin Resolution’. Dengan lulusnya ketetapan ini, maka Amerika menghalalkan diri untuk memerangi Vietnam Utara. Hari ini kajian fakta membuktikan bahawa TIDAK ada serangan ke atas USS Maddox pada 2 Ogos 1964. Apa yang berlaku hanyalah sandiwara.

Kejadian ‘memasang bendera salah’ ditimbulkan kerana pada ketika saya menulis ini, ada Satu Bendera Sedang Tercacak di Lahad Datu. Bendera Lahad Datu ini pelik lagi memelikkan. Pertamanya, media antarabangsa tidak dibenarkan membuat laporan. Wartawan Al-Jazzera ditangkap dan dihalau. Rakyat Malaysia menjadi cendawan – disimpan dalam gelap dan diberi makan tahi lembu.

Mengikut laporan awal, ‘bendera’ yang tercacak di Lahad Datu bersangkutan dengan Yazid Sufaat yang baru kena tahan di bawah undang-undang ‘ISA Baru’. Apa sangkut paut Yazid dengan Lahad Datu tidak jelas. Tetapi berita ini hilang begitu saja.

Pada awalnya, umum diberitahu ada 100 gerila lengkap bersenjata mendarat di Lahad Datu. Tetapi tidak diketahui pula dari busut jantan mana Sang Gerila ini datang? Tiba-tiba, beberapa hari kemudian laporan mula beralih. Jumlah 100 kini menjadi 40 orang. Ke mana 60 orang lagi menikus, wallahua’lambissawab.

Media Malaysia pada awalnya melapor bahawa gerila ini lengkap bersenjata. Tiba-tiba berita diubah – Sang Gerila hanya datang dengan penggali dan cangkul.

Setelah beberapa hari muncul pula berita yang melaporkan Sang Gerila ini ingin bertemu dengan seorang personaliti. Mengikut laporan – sesudah bertemu ‘personaliti’ Sang Gerila akan pulang. Siapa ‘personaliti’ yang ingin ditemui? Apakah Sang Gerila ini hendak berjumpa Ziana Zain? Atau personaliti dimaksudkan ialah Psy Gangnam Style? Sampai hari ini tidak diketahui siapa personaliti itu.

Terakhir, media memaparkan gambar Hishammuddin Hussein meneropong dari jauh untuk melihat Bendera Lahad Datu yang sedang tercacak. Perangai meneropong dari jauh menjadi tabiat Menteri Dalam Negeri sejak diberi teropong untuk melihat cara polis membelasah penunjuk perasaan Bersih 3.0 tahun lalu. Apakah teropong ini hadiah hari jadi dari Ziana Zain atau dari adik Ziana Zain, ini juga masih tidak jelas.

Yang jelas ialah orang ramai semakin marah kerana rakyat Malaysia tidak diberitahu apa yang sebenarnya berlaku. Mengikut laporan akhbar Filipina – jumlah gerila ini bukan 40 orang, bukan 100 orang tetapi 400 orang. Gambar dari akhbar Filipina memperlihatkan gerila ini dililit peralatan senjata moden. Gerila ini datang untuk mengancam.

Maka timbul persoalan hakiki: Apa tujuan memasang bendera ini? Siapa di belakang bendera ini?

Untuk memahami ini, kita wajib mengambil kira PRU 13 tidak lama lagi. Kita wajib mengambil kira bagaimana Suruhanjaya Diraja Siasatan (RCI Sabah) tentang kad pengenalan palsu sedang bersidang di Kota Kinabalu. Kita juga wajib menyedari bagaimana ‘kilang undi haram dari Sabah’ telah runtuh. Kita juga wajib mengambil kira kepulangan Balasubramaniam. Kita juga wajib ambil kira saman Deepak terhadap Najib. Kita juga wajib ambil kira serangan Mahathir Anak Lelaki Iskandar Kutty terhadap Najib. Kita juga wajib ambil kira bagaimana Muhyiddin sedang merancang untuk menge’nyah’kan Najib dari kerusi PM.

Setelah mengambil kira semua ini, jika ‘bendera tercacak’ di Lahad Datu berterusan, maka ia pastilah baik untuk Najib. Bendera ini amat cemerlang untuk United Malays National Organsiation. Pada tahap ini tidak penting untuk kita mengetahui siapa yang memasang bendera ini. Yang penting bendera ini terpasang. Dan orang yang merancang untuk memasang bendera ini akan meraih keuntungan.

Bendera yang sedang terpasang di Lahad Datu ini cukup molek untuk dijadikan sebab-musabab oleh Najib untuk menggantung pilihan raya di Sabah. Memasang bendera seperti ini bukan sesuatu yang baru. ‘Bendera salah’ ini digunakan untuk menjatuhkan PBS dan Pairin dalam 1982. Pada 1978, sejarah membuktikan bagaimana United Malays National Organisation memasang ‘bendera salah’ di Kelantan. Kacau bin Bilau melompat-lompat berdemo di Kota Bharu. Akhirnya Dewan Undangan Negeri Kelantan digantung dan Pas tersingkir.

Bendera yang tercacak di Lahad Datu ini hampir tiga minggu. Dalam laporan Bernama pada 24 Febuari lalu, Najib menerangkan bahawa dia menangguhkan PRU 13 sehingga rancangan ‘transformasi’ memperlihatkan hasil.

Apakah Najib bodoh? Apakah Najib nyanyuk? Biji durian akan mengeluarkan hasil setelah lima tahun ditanam. Padi boleh dituai setelah tiga bulan ditanam. Jagung berbuah setelah empat bulan ditanam.

Mustahil ‘transformasi’ akan memperlihatkan hasil dalam masa dua bulan. Sesuatu dasar akan dilihat keterampilan dan kejayaan dalam masa 10 atau 15 tahun. Mungkin lebih lama. Rancangan Felda yang dirancang pada 1956 hanya berhasil 15 tahun kemudian.

Justeru soalan wajib ditanya: Apakah ‘pasang bendera salah’ di Lahad Datu bertujuan untuk menimbulkan huru-hara di Sabah? Dengan ini, pilihan raya di Sabah ditangguh.

Jika pilihan raya Sabah ditangguh, maka Najib dapat menyelamatkan diri. United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya dapat selamat dari gelombang ombak rakyat yang tidak sabar-sabar untuk menghumbankan mereka semua ke tong sampah sejarah.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=46262

Posted by on Mar 1 2013. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google