Menggilap semula imej idealistik

(Oleh Lim Hong Siang)

Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 kini menjadi buah mulut di mana-mana. Hampir setiap tempat saya pergi akan terdengar orang bersembang mengenai isu politik. Sudah lima tahun politik tanah air bergolak rancak selepas tsunami pada 8 Mac 2008. Sepanjang proses kita memperjuangkan perubahan, kita sendiri berubah sedikit sebanyak, sedar atau tanpa disedari. Kalau sebelum PRU ke 12 politik kita adalah untuk menggarap imaginasi orang muda, kini politik kita lebih untuk meredakan kebimbangan yang ditanam ke atas pengundi saluran pertama.

Pertikaian sama ada bergerak secara perlahan-lahan ke depan (adakalanya tidak bergerak langsung) tatkala ‘engage’ dengan golongan konservatif; atau kemaraan politik progresif terlalu cepat, sehingga dipatahkan, lantaran kegagalan memperolehi sokongan konservatif – sering membelenggu pemimpin politik. Namun dilema ini tidak semestinya ‘zero-sum game’ (menang semua atau kalah semua), apatah lagi politik adalah seni untuk memungkinkan kemustahilan.

Padahal dunia kita sarat dengan mitos yang diandaikan sebagai ‘hakikat’. Misalnya kita lebih yakin kepada tokoh elit yang berpendidikan tinggi dan berpengalaman dalam dunia perusahaan dan sebagainya, bahawa mereka lebih arif untuk mentadbir
negara.

anak muda mahukan pendidikan percumaSaya menganggap pengalaman Singapura baru-baru ini cukup untuk dijadikan iktibar. Kabinet yang terdiri daripada elit terunggul, dibiaya dengan gaji yang tinggi – tetapi terpisah dari masyarakat akar umbinya. Jurang yang wujud antara golongan atasan dengan masyarakat bawahan ini terlalu mendalam, sehingga menteri gagal memahami keperluan rakyatnya. Keghairahan untuk menjadikan Singapura sebagai negara terunggul di dunia tanpa disedari telah meminggirkan anak watannya.

Bayangkan, setiap rakyat Singapura perlu bersaing dengan pakar berbakat dari seluruh pelusuk dunia, yang diserap kerajaan Singapura untuk memperkembangkan potensinya di pulau itu. Kekalahan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya kecil Punggol Timur adalah petanda berkecainya mitos bahawa elit tahu segala-galanya untuk mentadbir dengan lebih baik.

Aktivis Reformasi & orang sistem lama

Isu ini dibangkitkan kerana saya mendapati semakin ramai bekas anggota sistem lama diserap untuk menggerakkan politik baru sejak beberapa tahun kebelakangan. Ia semestinya satu perkembangan yang memberangsangkan dari segi politik, kerana kecenderungan ini adalah isyarat kemusnahan sistem lama, sementara memperlihatkan keterbukaan KEADILAN atau Pakatan Rakyat untuk merangkumi semua orang. Dari demonstrasi jalanan kepada parti politik, dari pembangkang dengan satu kerusi parlimen kepada kerajaan negeri – gerakan ini memerlukan penyertaan orang yang berlainan pada peringkat yang berbeza.

Namun, menangani sentimen aktivis parti, lebih-lebih lagi mereka yang memulakan perjuangan sejak zaman Reformasi tidak boleh dipandang remeh. Misalnya, satu ketika dahulu desas-desus tersebar bahawa bekas Presiden MCA, Ong Tee Keat bakal menyarung jersi KEADILAN untuk bertanding di Pandan pada PRU ke 13. Saya lega apabila khabar ini hilang ditiup angin. Untuk belasan tahun sekumpulan aktivis kaum Cina berhempas pulas untuk KEADILAN – semata-mata untuk mencorakkan imej parti ini sebagai
parti berbilang kaum dan progresif. Mereka disindir pimpinan MCA, termasuk Ong Tee Keat. Dari kaca mata kebanyakan komuniti Cina, perjuangan mereka sia-sia kerana hanya untuk mengangkat seorang individu bernama Anwar Ibrahim, malah akan ‘ditelan’ jikalau Melayu dalam KEADILAN bersatu dengan PAS.

ganpeineiKini, sesetengah bekas pemimpin MCA pula cuba untuk menuai hasil perjuangan aktivis KEADILAN yang membanting tulang sejak tahun 1998. Malah sesetengah mereka diangkat kerana ‘lebih dikenali di kalangan masyarakat Cina’. Kononnya, KEADILAN memerlukan tokoh sebegitu untuk menarik sokongan masyarakat Cina. Saya tidak berdendam dengan bekas pimpinan MCA ini, tetapi saya ingin berkongsi pengamatan saya terhadap anak muda Cina KEADILAN yang bergerak aktif di peringkat akar umbi.

Sememangnya ‘kecinaan’ golongan anak muda ini tidak menonjol jika dibandingkan dengan ‘politikus veteran berlatar belakangkan MCA’; tetapi ‘ke-Malaysia-an’ mereka begitu terserlah. Malah adalah sesuatu yang mengarut untuk mendakwa bahawa anak muda ini gagal meyakinkan masyarakat akar umbi Cina. Lihat kepada YB Gan Pei Nee, 27 semasa tahun 2008 yang bertungkus lumus di DUN Rawang, sehingga dipuji penduduk kampung yang hampir semuanya ‘bekas MCA’. Jelas, bezanya bukan sama ada anak muda ini ‘terkenal’ atau tidak, tetapi kegigihannya untuk berkhidmat di peringkat akar umbi!

Imej Reformasi dalam PRU ke 13

Musim pilihan raya umum semakin hampir, malah kita sedar PRU ke 13 menjadi penentu masa depan Malaysia. Bahkan saya berseloroh ketika bersembang dengan kawan – slogannya ‘Menang, atau kita berhijrah’. Secara jujur saya sebagai pengundi biasa menerima dan memahami kerumitan yang dihadapi KEADILAN dalam isu ‘katak melompat’. Tetapi secara ikhlas juga saya mengharapkan agar calon yang ditampilkan KEADILAN dalam PRU ke 13 mampu menggilap imejnya sebagai parti reformasi.

PKR-logoUntuk saya, penubuhan Parti Keadilan (Parti Keadilan Nasional sebelum bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia menjadi Parti Keadilan Rakyat) adalah titik pemusingan dalam sejarah politik Malaysia. Misinya bukan sekadar menjalinkan PAS dengan DAP, tetapi lebih daripada itu. Untuk belasan tahun kebelakangan, KEADILAN ke depan untuk membawa politik berbilang kaum, malah mengorak langkah lebih besar apabila merangkumkan orang asal ke dalam keluarganya. Sifat inklusif sememangnya kekuatan parti ini, tetapi untuk mara ke depan dalam tempoh 10 tahun akan datang, ia lebih bergantung kepada ‘imej progresif’ dan sifat idealistiknya.

Saya pernah mendengar keluhan pimpinan PAS, yang mengingatkan partinya agar jangan pandang remeh pengaruh Parti Sosialis Malaysia (PSM). Sesungguhnya parti itu membawa idea-idea yang masih dianggap ‘tabu’ oleh golongan konservatif, tetapi idea-idea yang progresif selalunya menggarap imaginasi anak muda. Saya menganggap PSM bakal membawa persaingan yang sihat dengan KEADILAN, maka terpulanglah kepada KEADILAN untuk memikirkan sesuatu bagi memikat hati anak muda. Seandainya terlalu ramai ‘calon kitar-semula’ yang diangkat, atau terus berjinak-jinak dengan politik lama dalam zon selamat, maka imej idealistiknya akan tercalar, bahkan anak muda akan berhijrah ke parti lain.

Sejarah membuktikan bahawa mustahil perjuangan KEADILAN mencapai apa yang ada pada hari ini seandainya hanya untuk kepentingan jangka pendek. Perjuangan KEADILAN melanggar batas-batas jumud sejak awalnya, sehingga hampir lemas pada tahun 2004. Saya berharap, keberanian untuk mempertahankan prinsip serta kesungguhan untuk menggilap imej idealistik terus kekal dalam PRU ke 13.

*Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@gmail.com

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=44527

Posted by on Feb 7 2013. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google