Mirzan digesa tinggalkan bisnes ‘arak’ sempena Ramadhan

(Oleh Aliff Fikri)

KUALA LUMPUR 17 Julai: Sempena Ramadhan ini, Mirzan Mahathir digesa meninggalkan sebarang aktiviti perniagaan yang melibatkan perkara haram di sisi agama, kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Dr Mohd Nor Manuty.

“Sempena bulan puasa yang semakin menjelang beberapa hari lagi, saya menggesa Mirzan supaya muhasabah diri dan meninggalkan perkara yang jelas sekali bertentangan dengan Islam.

“Arak ini haram, jadi duit yang diperolehi dari syarikat arak juga haram. Beliau tidak sepatutnya melibatkan diri dengan perdagangan yang melibatkan perkara yang sudah tentu haram,” katanya dihubungi.

Mirzan membeli syarikat pembuat arak terbesar di Filipina, San Miguel dengan harga RM2.9 bilion. Wang dari keuntungan syarikat arak tersebut digunakan untuk membeli Esso Malaysia dengan RM1.7 bilion, lalu ditukar nama kepada Petron.

Penasihat MAS, Dr Mahathir Mohamd dengan bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga telah meluluskan kontrak enam bulan untuk membeli minyak dari syarikat anak Mahathir, Petron.

Tindakan Mirzan mengabaikan kepentingan agama demi keuntungan peribadi semata-mata turut dibidas.

“Mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang sering bercakap soal agama, tapi sayang anak beliau pula menggadaikan maruah diri dengan terlibat dengan syarikat arak,” kata Mohd Nor.

Beliau juga menempelak tindakan Mahathir yang mementingkan poket keluarganya dengan menyalahguna kepentingan rakyat.

“Tindakan Mahathir yang berdiam diri dan tidak memberi sebarang jawapan berkenaan isu duit arak anak beliau jelas membuktikan amalan nepotisme dan kronisme yang diamalkan beliau sejak dari dulu tidak pernah terpadam.

“Nepotisme adalah amalan mengabaikan kepentingan rakyat untuk mengisi poket sendiri dan mengaut keuntungan sebesar-besarnya ke dalam institusi keluarga sendiri dengan menggunakan wang rakyat.

“Ini juga merupakan salah satu perkara yang bertentangan dengan ajaran agama,” tegas Mohd Nor.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=32917

Posted by on Jul 17 2012. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE