NASIONAL

PRU 13: KEADILAN kategori kerusi wajib menang ikut gred

Feb 7 2013 / Keadilan Daily

(Oleh Norutul Ilham)

KUALA LUMPUR 7 Feb: Bersandarkan kejayaan Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, KEADILAN mengklasifikasikan beberapa kerusi wajib dimenangi pada tahun ini dengan gred tertentu.

SaifuddinMenurut Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, pembahagian kerusi itu merupakan strategi Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya.

"Kerusi kita bahagikan kepada gred A, B dan C. Gred A kita menang majoriti besar dan kita kena menang lagi, B pula sama ada kita menang atau kalah kecil, contohnya kerusi yang kita kalah tipis.

"Manakala Gred C apabila kita kalah besar. Untuk persediaan PRU 13, program utama KEADILAN berjalan mengikut jadual. Untuk sasaran kemenangan, kita terpaksa lipat gandakan usaha kempen," katanya kepada Keadilan Daily.

keadilanBeliau berkata, pergerakan jentera bagi memastikan kemenangan besar dalam PRU 13 turut melibatkan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dilantik sebagai ketua untuk meninjau perjalanan kempen.

"Komponen seterusnya adalah penglibatan 70 anggota MPP. Seorang MPP ditugaskan menjaga dua atau empat kawasan Parlimen yang bakal ditandingi KEADILAN.

"Tinjauan aspek yang perlu diaudit adalah bilik gerakan. Kena pastikan telah bergerak atau tidak, ejen tempat mengundi (Pacaba) apakah ia atas kertas atau bagaimana dengan gerak kerja bersama Pakatan di kawasan itu seperti program penerangan ziarah rumah ke rumah," kata Ahli Parlimen Machang itu.

Pada PRU 2008, KEADILAN berjaya memenangi 31 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pakatan Rakyat berjaya memenangi 82 kerusi Parlimen dan 196 kerusi DUN hasil kemenangan lima negeri sekaligus menafikan kemenangan 2/3 Umno BN.