MP Pakatan keluar dewan, protes Akta Perhimpunan Aman

(Oleh: Masdar Wahid)

 

KUALA LUMPUR 29 Nov: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat  keluar dewan rakyat beramai-ramai bagi membantah tindakan kerajaan yang enggan menarik balik Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang dibahaskan hari ini.

Tindakan keluar dewan itu diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka juga membantah keputusan Yang dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana hanya membenarkan ahli parlimen kanan pembangkang
untuk berbahas.

Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa berkata, Pakatan membuat keputusan berkenaan sebagai tanda protes, selepas menjangka rang undang-undang itu akan tetap diluluskan.

“Kita memilih tindakan keluar dewan kerana kita sudah menjangka akta ini akan diluluskan juga dengan mereka menggunakan undian majoriti.

“Malah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz juga enggan memberi respon mengenai desakan kita agar rang undang-undang itu ditarik balik,” katanya ditemui selepas Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar dewan hari ini.

Menurutnya, jika undian belah bahagi diadakan sekalipun, Pakatan Rakyat tidak mampu menghalang rang undang-undang itu dari diluluskan kerana majoriti  dalam Dewan Rakyat ialah Ahli Parlimen BN.

Rang undang-undang itu dibahaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (KEADILAN-Permatang Pauh), Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud), Lim Guan Eng (Dap-Bagan), Abdul Hadi Awang (Pas-Marang), Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dan P Kamalanathan (BN-Hulu Selangor).

Rang Undang-undang  itu akhirnya diluluskan Dewan Rakyat tanpa kehadiran ahli parlimen pembangkang, selepas perbahasan kira-kira tiga jam.

 

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=23823

Posted by on Nov 29 2011. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google