MP Pasir Salak pemegang minoriti konsesi UiTM Tapah

(Oleh Rafizi Ramli, Pengarah Strategi KEADILAN merangkap Ahli Parlimen Pandan) 
Hari ini saya boleh mengesahkan bahawa Dato’ Tajuddin Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Timbalan Menteri Pertanian and Industri Asas Tani adalah pemimpin Umno yang mempunyai pegangan minoriti di dalam konsesi penswastaan UiTM kampus cawangan Tapah. Ini mengulangi perkara yang sama di dalam konsesi-konsesi penswastaan kampus cawangan UiTM yang lain apabila setiap syarikat konsesi turut mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno atau ahli perniagaan yang rapat dengan Umno.

Universiti Teknologi Mara (UiTM)Konsesi penswastaan UiTM cawangan Tapah dianugerahkan kepada UniTapah Sdn Bhd dengan konsesi selama 23 tahun untuk membina dan menyewakan kembali kampus itu kepada UiTM. Salah seorang pengarah UniTapah Sdn Bhd ialah Sri Rahayu Tajuddin, iaitu anak kepada Dato’  Tajuddin Rahman. Sri Rahayu juga pernah menjadi Setiausaha Umno Bahagian Pasir Salak yang diketuai oleh Dato’ Tajuddin Rahman.

Seorang lagi pengarah di dalam UniTapah Sdn Bhd yang mempunyai hubungan dengan Dato’ Tajuddin Rahman adalah Vignesh Naidu a/l Kuppusamy Naidu melalui usahasama perniagaan bersama di antara mereka. Selain UniTapah Sdn Bhd, Dato’ Tajuddin Rahman dan Vignesh Naidu mempunyai hubungan melalui sebuah syarikat pembinaan iaitu Everfine Resources Sdn Bhd yang mana Dato’ Tajuddin Rahman adalah pengerusinya dan Vignesh Naidu pengarah syarikat itu.

Kepentingan Dato’ Tajuddin Rahman di dalam syarikat konsesi ini dipegang melalui sebuah syarikat iaitu Detik Utuh Sdn Bhd. Syarikat itu mempunyai kepentingan sebanyak 9.8% di dalam UniTapah Sdn Bhd manakala saham selebihnya dipegang oleh sebuah syarikat pembinaan yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur iaitu Crest Builder Holdings Berhad (melalui Crest Builder International Sdn Bhd).

Dato’ Tajuddin Rahman memiliki 450,000 saham di dalam Detik Utuh Sdn Bhd, menjadikan beliau pemegang saham terbesar. Saham-saham selebihnya dimiliki oleh Vignesh Naidu (150,000 saham) dan Obata-Ambak Holdings Sdn Bhd (400,000 saham). Obata-Ambak Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang dikawal oleh keluarga isteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pengarah-pengarah di dalam Detik Utuh Sdn Bhd adalah individu-individu yang rapat dengan Dato’ Tajuddin Rahman iaitu anaknya sendiri (Sri Rahayu) dan kenalan perniagaan beliau iaitu Vignesh Naidu dan Haniff Mahmood.

Walaupun pegangan Dato’ Tajuddin Rahman tidaklah sebesar pegangan ahli-ahli politik Umno yang lain dalam konsesi yang telah saya dedahkan sebelum ini, ia mengesahkan bahawa setiap konsesi penswastaan kampus cawangan UiTM menguntungkan sekurang-kurangnya ahli politik Umno dengan bayaran sewa yang cukup membebankan rakyat.

* Bukti konsesi penswastaan UiTM Tapah dianugerahkan kepada UniTapah Sdn Bhd, KLIK SINI

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=62008

Posted by on Jun 24 2014. Filed under KENYATAAN MEDIA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE