Mufti pertahan kenyataan, kerajaan rasuah tidak amanah

(Oleh: Sidiqin Omar)

 

KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mempertahankan kenyataannya bahawa perpecahan Melayu dan Islam di negara ini disebabkan kelemahan kerajaan, yang berpunca dari amalan rasuah dan tidak amanah.

“Rasuah ini siapa pun akan marah. Sebab itu saya katakan yang lemah ialah kerajaan kerana rasuah dan tidak amanah. Dari situlah wujudnya kacau bilau dalam  negara,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.

Bercakap dalam satu forum di Shah Alam baru-baru ini, Harussani mengeluarkan kenyataan bahawa beliau ada mengingatkan Perdana Menteri, Najib Razak tentang kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah.

Malah beliau turut mendedahkan pernah menasihatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak memecat timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuduhan liwat tanpa mengemukakan empat saksi.

Ia katanya, bagi mengelakkan perpecahan di kalangan orang Melayu-Islam.

Namun Mufti paling kanan di Malaysia dan  pernah diberi gelaran sebagai ulama Pro Umno ini berkata, nasihat itu,tidak dihiraukan Mahathir.

Malah beliau turut memberi tiga nasihat kepada bekas Perdana Menteri selepas Mahathir,  Tun Abdullah Ahmad Badawi , namun kesemuanya ditolak.

Ketika ditanya kenapa beliau kini dilihat berani mengkritik kerajaan, Harussani berkata, ia adalah menjadi kewajipan setiap mufti untuk menegur pemerintah.

“Kalau tak berani tegur, jangan jadi mufti. Sebab akhirnya nanti, di belakang-belakang (kerajaan) pun, kita akan kritik juga,”

“Sudah 54 tahun negara merdeka, tapi kedudukan ekonomi orang Melayu dan orang Islam masih ketinggalan. Ada pula yang salah anggap dengan apa yang saya katakan. Inilah dia masalahnya pemimpin-pemimpin Melayu,” katanya lagi.

Mufti yang dilihat lantang dalam isu Melayu-Islam itu menambah, kedudukan setiap rakyat di negara ini akan terbela dan terpelihara sekiranya semua pihak kembali kepada perlembagaan.

“Semua akan terbela jika semua faham dengan perlembagaan. Tak perlulah sampai nak diada-adakan perlembagaan yang baru. Untuk negara ini, kalau kita kembali kepada perlembagaan, semua akan selamat,” kata beliau.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=19646

Posted by on Aug 26 2011. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE