Musa Aman mahu saudara dikena tindakan, tapi takut disiasat kes RM40j

(Oleh Aliff Fikri)

KUALA LUMPUR 4 Feb: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman bermuka-muka mahu saudaranya yang merupakan suspek dikehendaki kerajaan Filipina dikenakan tindakan, sedangkan beliau pengecut disiasat berhubung skandal RM40 juta Umno Sabah.

musa-aman“Musa hanya pandai cakap, tapi takut tampil dalam kes skandal RM40 juta Umno Sabah. Semua rakyat termasuk ahli Umno muak dengan perangainya.

“Walau apa pun jawapan Musa, rakyat tahu beliau sanggup sembunyikan Amalilio. Padahal anak buahnya itu didakwa melakukan jenayah di Filipina,” kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah, Mohd Serman Hassnar ketika dihubungi.

Semalam, Musa mengakui suspek yang dikehendaki kerajaan Filipina, Manuel Karingal Amalilio merupakan ‘saudara jauh’ keluarganya.

Bagaimanapun, Musa nafi beliau campurtangan untuk menghalang penghantaran pulang Amalilio dan mahu saudaranya itu diambil tindakan.

“Sama ada Amalilio seorang saudara (saya) atau tidak, pihak berkuasa perlu menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya. Tiada orang yang dikecualikan undang-undang,” kata Musa dipetik.

Beliau dipercayai menjawab gesaan Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali Khamis lalu yang menuntut penjelasan ke atas dakwaan para pegawai Filipina bahawa beliau campurtangan dalam urusan tersebut.

Mengecam sekatan penghantaran pulang Amalilio, Mohd Serman berkata, tindakan itu membuktikan Musa menggunakan pengaruhnya untuk menafikan kesalahan jenayah.

“Musa sanggup menyalahguna kuasa dengan menggunakan bermacam-macam alasan dan cara untuk menutup kes-kes berprofil tinggi yang berkait rapat dengannya.

“Dengan menyekat penghantaran Amalilio, beliau boleh sembunyi kes dan menyelamatkan diri.

“Lihat kes RM40 juta yang umpama ribut dalam cawan, tidak ada sebarang penjelasan kukuh dari mulut beliau,” kata Mohd Serman.

Tambah beliau, rakyat bosan wayang dan budaya rasuah yang diamal Musa.

“Rakyat tidak bodoh untuk terus beri undi kepada Musa. Pelbagai pendedahan berkenaan penyelewengan oleh beliau selama ini membuatkan rakyat, khususnya di Sabah akan menolaknya pada PRU akan datang,” ujarnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=44364

Posted by on Feb 4 2013. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google