Najib berdepan penjara 20 tahun pinda laporan 1MDB

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengaku tidak bersalah menggunakan jawatannya untuk mengarahkan agar Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC).

Najib, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Dia didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu perdana menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan Najib dibebaskan dengan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin dan perlu dibayar hari ini

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya Kanan mengetuai pasukan pendakwaan manakala Najib diwakili barisan peguam yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Sementara itu, bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy turut didakwa bersubahat dengan Najib berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Bagaimanapun, Arul Kanda, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib yang menggunakan jawatannya sebagai perdana menteri Malaysia untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 23(1) dan Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan manakala Arul Kanda diwakili peguam N Sivananthan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72685

Posted by on Dec 12 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE