Najib didakwa terima RM42 juta wang haram

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga tuduhan menerima RM42 juta hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaunnya empat tahun lepas daripada SRC International Sdn Bhd.

Najib didakwa menerima RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta hasil daripada aktiviti haram, melalui Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (“Rentas”) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya bernombor 2112022011880 dan 2112022011906.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur antara 26 Dis 2014 dan 10 Feb 2015.

Pendakwaan didakwa dilakukan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Najib, 65, selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwa raya untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Pada 4 Julai lepas, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sementara pendakwaan diketuai Ketua Unit Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72155

Posted by on Aug 8 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE