Kata Bersih haram: Najib, Hishammuddin didesak mohon maaf

(Masdar Wahid dan Norutul Ilham)

KUALA LUMPUR 24 Julai: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon maaf secara terbuka kepada rakyat kerana mengatakan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) adalah pertubuhan ‘haram’.

“Jika kedua-dua mereka menghormati undang-undang dan Perlembagaan Negara, maka tindakan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat adalah sesuatu yang wajar dan sangat dialukan.

“Jika di negara maju dan bertamadun, pemimpin yang melakukan kesilapan terhadap rakyat tampil mohon maaf secara terbuka bahkan ada meletak jawatan demi menjaga integriti serta reputasi kerajaan dan imej negara,” kata Timbalan Ketua Penerangannya, Najwan Halimi dalam kenyataan.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan pengisytiharan Hishammuddin dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 1 Julai tahun lalu bahawa gabungan itu adalah pertubuhan haram dan menyalahi undang-undang.

Sementara itu, Kelab Penyokong Anwar Ibrahim (AIC) yang senada dengan AMK turut menuntut Hishamuddin dan kerajaan membuat permohonan maaf berikutan tindakan terhadap peserta Bersih.

“AIC Malaysia merasakan Hishammuddin seharusnya bersama-sama kerajaan Malaysia memohon maaf atas kesilapan pengisytiharan itu, dan juga tindakan ganas serta tidak masuk akal terhadap pertubuhan, peserta dan rakyat yang menyokong Bersih 2.0 termasuk mereka yang menyertainya pada 9 Julai.

“Justeru tidak ada alasan lebih konkrit serta ruang untuk berdolak-dalik atas ketidak upayaan Hishammuddin yang bukan sahaja gagal menangani tuntutan rakyat dengan baik, malah bertindak sebaliknya dengan mentakrifkan pertubuhan Bersih 2.0 sebagai haram serta melabel jutaan rakyat yang mendukung tuntutan itu dengan pelbagai istilah negatif,” kata Presidennya, Saifuddin Shafi Muhammad.

Katanya, demi menjaga nama baik beliau, Hishammuddin harus tampil berdepan rakyat supaya tidak timbul kebencian melampau terhadapnya.

“Tidak perlulah menyemarakkan permusuhan dengan rakyat yang jelas telah lebih matang dan berani untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap sebarang bentuk penindasan.

“Mungkin inilah juga peluang terbaik kerajaan Barisan Nasional dan Hishammuddin untuk mengotakan slogan Janji Ditepati, dengan mengangkat aspirasi rakyat kembali kepada tempatnya,” kata Saifuddin.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=33262

Posted by on Jul 24 2012. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google