Najib jangan melalut, nilai ringgit masih lemah – Wong Chen

(Oleh Fiza Abd Halim)

KUALA LUMPUR 11 JULAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak sewajarnya bergembira dengan prestasi ringgit yang kononnya terbaik dalam kalangan mata wang Asia, sebagaimana laporan Bloomberg baru-baru ini.

Wong ChenAhli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, Najib dan kerajaan BN tidak perlu bersorak riang sedangkan iklim ekonomi negara adalah sebaliknya.

Katanya, nilai mata wang negara masih dalam keadaan membimbangkan berbanding mata wang negara Asia yang lain. Sepatutnya Najib perlu mengembalikan nilai ringgit pada kadar di atas RM3.30 untuk satu dolar Amerika.

“Ringgit naik sedikit, bukan sesuatu yang menggembirakan rakyat Malaysia. Najib dan Kerajaan Umno BN tidak perlu bersorak bangga, itu tidak menunjukkan keadaan iklim ekonomi negara ini.

“Sepatutnya Perdana Menteri hanya gembira apabila nilai ringgit mencecah RM3.30. Sekarang ini masih jauh lagi ke tahap itu.

“Kenaikan sebanyak 30 sen daripada RM4.50 kepada RM4.20 untuk satu dolar tidak sama sekali menunjukkan ringgit semakin kukuh,” katanya dihubungi.

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan ringgit Malaysia sebagai mata wang Asia paling kukuh yang mendorong kepada spekulasi bahawa pilihan raya awal bakal diadakan.

Walaubagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli membidas laporan tersebut dengan menyatakan nilai ringgit ditentukan oleh permintaan dan penawaran di pasaran mata wang.

Sehubungan itu, Wong Chen mendesak Najib dan kerajaan Umno BN memanggil pilihan raya segera jika benar laporan nilai mata wang telah mengukuh.

“Kalau berani laksanakanlah pilihan raya dengan segera. Kalau BN rasa ekonomi negara kuat, tak payah tunggu lebih lama,” sinisnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70213

Posted by on Jul 11 2017. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE