Najib PM ‘Pelawok’ tabur janji pilihan raya

KOTA BHARU Jan 21: KEADILAN Kelantan melihat janji politik yang ditabur oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena lawatan beliau ke Kelantan sebagai “tawaran kosong” Umno BN yang terdesak untuk menawan Kelantan.

KEADILAN Kelantan menegaskan bahawa tujuh janji dalam aspek pembangunan infrasrtuktur di negeri ini merupakan janji yang tidak bertanggungjawab seorang Perdana Menteri. Sewajarnya, Mohd Najib tidak perlu menunggu sehingga selepas pilihan raya, sebaliknya ia harus diumumkan sebagai projek wajib persekutuan sementara beliau masih lagi sebagai Perdana Menteri.

Sekiranya PM dan BN betul-betul ikhlas mahu melaksanakan projek tersebut kenapa tidak dimasukkan di dalam Bajet 2013 untuk perlaksanaan segera pada tahun ini. Faktor kedua ialah adakah Kerajaan Persekutuan ada kemampuan kewangan untuk melaksanakannya.

Sebagai contoh Projek lebuhraya KB-KK yang dirancang sejak RMK 9 pun tidak mampu dilaksanakan selama ini atas alasan kos. Sebab itu kita merasakan bahawa janji yang ditabur itu janji manis yang kosong semata-mata.

Perdana Menteri juga mungkin memandang rendah keupayaan rakyat Kelantan dalam menilai keikhlasan Kerajaaan Persekutuan dalam aspek pembangunan di Kelantan. Jika Umno Kelantan melakukan tinjauan pandangan rakyat Kelantan sekarang menerusi laman media sosial seperti Facebook dan Twitter, rata-rata menyifatkan janji PM ini sebagai janji “pelawok” untuk menang dalam pilihan raya.

Janji ini juga tidak mampu melupakan segala dosa BN kepada Kerajaan Negeri yang dianaktirikan dari aspek pembangunan berbanding negeri-negeri lain. Hasil politik dendam BN pada Kerajaan Negeri, kini rakyat Kelantan lebih berdikari tanpa mengharapkan omongan kosong Perdana Menteri yang tidak bertanggungjawab.

Lihat sahaja bagaimana betapa lembabnya pembinaan jambatan kedua merentasi Sungai Kelantan di Jambatan Sultan Yahya Petra, pengabaian projek ECER menunjukkan segala janji sebelum ini hanyalah kegagalan pentadbiran beliau. Ini memberikan gambaran jelas ketidakmampuan Umno Kelantan membawa pembangunan di Kelantan.

Janji yang diumumkan juga boleh dilihat sebagai tindakan bertahan Umno menghadapi pembangunan kendiri Kerajaan Negeri tanpa bantuan Pusat. Najib mungkin terpukul dengan kemampuan pihak negeri membangunkan sendiri projek besar seperti Projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, membina stadium sendiri di samping projek-projek berasaskan kebajikan kepada rakyat Kelantan.

Dengan ini, KEADILAN Kelantan berharap rakyat Kelantan matang dalam menilai janji PM yang terdesak untuk mengekalkan kuasa dalam pilihan raya kali ini. KEADILAN Kelantan juga yakin inilah janji terakhir Najib sebagai PM. Segala keperluan rakyat Kelantan akan dipenuhi oleh kerajaan Pusat yang baharu, yang lebih amanah dalam menunaikan hak kerajaan kepada rakyatnya.

Kenyataan oleh:

MUHAMAD HISOMMUDIN BAKAR
SETIAUSAHA KEADILAN KELANTAN

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43599

Posted by on Jan 21 2013. Filed under KENYATAAN MEDIA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google