Negara Malaysia masih ‘dalam pembentukan’

Oleh Shuhaimi Said


Melihat dari apa yang sedang berlaku di negara ini, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat dan bertamadun masih belum wujud.

Sekiranya Malaysia bergerak mengikut perlembagaan Persekutuan, ia adalah sebuah negara yang baik. Tetapi akta-akta yang dibuat dibawah Perlembagaan itu menghakis dasar-dasar murni yang cuba diterapkan oleh Perlembagaan.

Malaysia adalah sebuah negara carcr marba dan masih dalam proses pembentukan. Malaysia dikatakan sebuah negara Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Konsep ini cukup baik dan boleh merangsang kesetiaan, perpaduan, keadilan dan kebebasan.

Malangnya wujud lebih banyak undang-undang yang tidak mengizinkan negara ini mengamalkan sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan.

Kuasa Eksekutif di negara ini mengatasi kuasa-kuasa Kehakiman dan Pentadbiran. Parlimen/Kehakiman dan Pentadbiran melutut kepada Eksekutif . Kuasa-kuasa yang hanya tinggal sedikit kepada Raja-Raja, juga terpaksa melutut kepada Eksekutif.

Apa yang tinggal dan dikatakan sebagai demokrasi hanyalah pilihanraya. Dan pilihanraya itu pula tidak berlandaskan kepada demokrasi kerana parti yang memerintah boleh menyalahgunakan kuasa tanpa perlu akur kepada Undang-Undang dan Mahkamah.

Rasuah politik secara terbuka dan besar-besaran dilakukan tanpa sebarang kekangan. Mahkamah tidak berupaya, seolah-olah tidak ada kuasa yang boleh menyekat dan menghalang rasuah politik yang melampau.

Semua cabang pentadbiran dipergunakan oleh parti pemerintah. Tidak berlaku dalam pilihanraya, persaingan yang saksama di antara parti-parti politik.

Bahkan apa yang berlaku adalah perlawanan di antara parti pembangkang dengan parti Barisan Nasional yang dibelakangnya terdiri dari jabatan kerajaan. Manakala, segala harta benda rakyat dijadikan habuan untuk memancing undi bagi pihak Barisan Nasional.

Perkara seumpama ini tidak berlaku di negara-negara demokrasi. Bahkan di negara tersebut, penyalahgunaan kuasa seumpama ini adalah jenayah yang boleh menjatuhkan parti yang melakukan salahguna tersebut.

Institusi yang sepatutnya menjadi bebas seperti Polis dan SPR jelas memihak kepada parti yang memerintah. Jauh berbeza sikap mereka terhadap parti pembangkang.

Dasar yang baik demi membangunkan satu-satu kaum yang ketinggalan disalahgunakan oleh parti pemerintah untuk mengayakan anak buah, pemimpin serta kroni mereka, sehingga boleh menjadi jutawan dan kaya-raya, sementara kaum yang ketinggalan itu tetap ketinggalan.

Hak rakyat untuk berdemonstrasi hanya dibenarkan jika ia dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional, tetapi ditentang dengan ganas jika dilakukan oleh pembangkang.

Kebebasan hanya dibenarkan untuk media-media pro-kerajaan, tetapi ditapis dan dihalang kepada media pembangkang.

Pelajar-pelajar yang memihak kepada Umno dan Barisan Nasional tidak dilarang tetapi kepada mahasiswa yang mahu memihak kepada Pembangkang dihalang oleh bukan sahaja oleh Auku (Akta Universiti dan Kolej Universiti), bahkan juga oleh pihak Polsis.

Perpaduan kaum yang luhur tidak pernah wujud di negara ini kerana Barisan Nasional yang berteraskan parti-parti perkauman. Mereka menperluaskan dasar perkauman apabila berhadapan dengan ahli-ahli mereka yang hanya terdiri daripada satu-satu kaum,

Mereka cuba pula memecah-belahkan pembangkang dengan isu-isu perkauman. Mereka itu hanya akan hidup kerana meniupkan isu-isu perkauman, dan dengan penuh kepuraan-puraan bersatu di peringkat tertinggi semata-mata untuk mengaut harta-benda negara untuk pimpinan mereka.

Hakikatnya, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat masih terlalu jauh dan belum wujud jika negara ini terus menerus diperintah oleh Barisan Nasional!


*Shuhaimi adalah Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal KEADILAN

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=6896

Posted by on Feb 15 2011. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Both comments and pings are currently closed.

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE