Saiz Teks: A A A

NFCorp turut langgar Akta Syarikat 1965- Tony Pua

KUALA LUMPUR 28 Feb: DAP menyifatkan pengarah National Feedlot Corporation (NFCorp), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, bukan sekadar melakukan kesalahan pecah amanah, malah turut melanggar Akta Syarikat 1965.

“Jutaan ringgit dari pinjaman RM250 juta, yang khusus untuk penubuhan dan operasi NFCorp, jelas digunakan untuk tujuan lain, seperti pembelian kondominium mewah dan juga pelaburan di Singapura.

“Ia dilakukan atas nama pengarah-pengarah syarikat, bukan NFCorp. Ini bermakna NFCorp memberi pinjaman kepada pengarah dan syarikat lain milik mereka, seperti Meatworks Pte Ltd,” kata Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.

Menurut Pua, ia bukan sekadar melanggar perjanjian pinjaman mudah itu, malah turut menyalahi Akta Syarikat, menurut Seksyen 133 dan 133A di bawah ‘Pinjaman yang Dilarang’.

“Seksyen 133A melarang pinjaman kepada individu yang mempunyai kaitan dengan pengarah syarikat yang memberi pinjaman.

“Seksyen 133(4) pula menyatakan pengarah yang terlibat bersalah atas tuduhan jenayah, dan mereka bertanggungjawab untuk menebus kembali kerugian yang disebabkan mereka,” kata Pua.

Beliau menambah, walaupun terdapat pinjaman yang dibenarkan, seperti pinjaman perumahan kepada pekerja, ia harus mendapat kelulusan pemegang saham terlebih dahulu.

“Dalam kes ini, NFCorp tidak mendapat kelulusan dari Kementerian Kewangan, selaku pemegang saham utama mereka,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Sebagai respon kepada syor pihak polis untuk mendakwa NFCorp atas tuduhan pecah amanah, NFCorp menyatakan keputusan itu bersifat ‘terlalu awal’.

Dalam satu kenyataan, NFCorp mendakwa dana hanya diberi kepada syarikat-syarikat subsidiari mereka, dan pengarah-pengarah NFCorp juga bertindak sebagai ahli lembaga pengarah sayarikat-syarikat terbabit.

Pua berkata, kenyataan NFCorp ini sendiri adalah pengakuan jelas bahawa mereka telah melanggar Akta Syarikat 1965.

“Justeru, DAP menyeru Peguam Negara bukan sahaja mendakwa NFCorp atas tuduhan pecah amanah, malah atas tuduhan melanggar secara terangan Akta Syarikat,” ujar Pua lagi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=27445

Posted by on Feb 28 2012. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry