NGO cadang hantar Rosmah ke kem pelarian Rohingya

Satu pertubuhan bukan kerajaan, Global Peace Mission (GPM) Malaysia hari ini mencadangkan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor supaya mencontohi wanita pertama Turki Emine Erdorgan yang mengunjungi Myanmar bagi melawat kem pelarian Rohingya.

Ketua Pegawai Eksekutif GPM Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata inisiatif itu akan membantu Rosmah dan kepimpinan negara ini untuk melihat sendiri konflik di wilayah Rakhine, Myanmar itu.

“Tidak cukup sekadar perdana menteri menyuarakan bantahan dan menyebut ucapan beliau dalam beberapa siri bantahan itu sendiri

“Tetapi paling tidak seperti yang ditunjukkan oleh Turki sebagai contoh di mana hari ini kita lihat First Lady Turki berada di Bangladesh.

“Maksudnya kita bukan sahaja bercakap tetapi kita buat. Sebab itu Malaysia kalau boleh hantar isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah pergi tengok sendiri ke Myanmar, ke kem pelarian itu sendiri,” kata Ahmad Fahmi dalam sidang media di ibu pejabat Angkatan Belia Malaysia (ABIM), Kuala Lumpur, hari ini, lapor Malaysiakini.

Etnik minoriti Islam Rohingya dilaporkan sedang berhadapan kempen pembersihan etnik apabila setiap hari ribuan mereka dilaporkan dibunuh dengan kejam oleh kerajaan Myanmar di wilayah Rakhine.

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi pada masa sama terus berdiam diri walaupun menerima tekanan dari masyarakat antarabangsa untuk menghentikan krisis itu.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dilaporkan menawarkan pembiayaan kewangan kepada kerajaan Bangladesh bagi menampung kemasukan pelarian Rohingya, dengan syarat sempadan negara itu dibuka kepada etnik minoriti berkenaan.

Malah, media antarabangsa melaporkan Emine Erdorgan kini berada di Bangladesh bagi menyampaikan misi bantuan kemanusian.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata langkah yang diambi Emine itu sangat baik dan Malaysia perlu mencontohinya.

“Ini memang contoh yang terbaik, maksudnya kita tunjukkan melalui tauladan, kita nyatakan bantahan kita dan kita hantar kepimpinan kita dan salurkan bantuan sepertimana yang Turki buat.

“Hantar juga (Menteri Luar) Datuk Seri Anifah Aman ke sana,” kata Ahmad Fahmi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70483

Posted by on Sep 8 2017. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE