Nik Nazmi desak Najib pikul tanggungjawab kegagalan KR1M

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad mendesak Perdana Menteri untuk bertanggungjawab di atas kegagalan inisiatif rangkaian Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

“Seperti kebanyakan projek 1Malaysia yang lain, pentadbiran Najib Razak gagal untuk merancang inisiatif ini secara menyeluruh, dan akibatnya lebih ramai orang terkena impak negatif kegagalan projek.

“Masalah pokok kenaikan kos sara hidup – pengenalan cukau barangan dan perkhidmatan (GST), kadar gaji dan upah yang rendah – mesti diatasi.

“Sudah sampai masanya kerajaan bertanggungjawab terhadap semua kegagalan ini,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan itu berkata desakan ini dibuat kerana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sekarang meletakkan nasib ribuan pekerja KR1M dalam tangan kontraktor projek itu, Mydin Mohamed Holdings Sdn Bhd.

Namun pada masa sama katanya, pihak Mydin pula menyalahkan Putrajaya di atas kegagalan projek itu yang dianggap sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) semata-mata.

“Nampaknya kedua-dua pihak tidak mahu bertanggungjawab untuk masalah ini, dengan pihak kerajaan menyalahkan Mydin kerana meningkatkan harga barang, manakala Mydin pula menyatakan projek itu hanyalah CSR syarikat.

Media sebelum ini melaporkan penutupan rangkaian kedai itu susulan kehadiran notis penutupan yang ditampal pada pintu besi cawangan KR1M yang tidak lagi beroperasi.

KPDNKK memberikan alasan penutupan tersebut hanya bersifat sementara untuk menawarkan lebih banyak pilihan barangan dan harga yang lebih murah kepada pengguna.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70608

Posted by on Oct 5 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE