‘NO’ tidak wujud dalam teks ucapan Najib (Lim Hong Siang)

no to najibPada Tahun Baru Cina ini, kita terhibur dengan filem lucu secara percuma apabila Najib mengulangi “Are you ready for BN?”, dan disahut tiga kali berturut-turut oleh penduduk Pulau Pinang dengan “No!”. Barangkali teks ucapannya ditulis sebegitu, maka Najib terpaksa menghabiskan semua ayat yang dihafalnya – tanpa mengambil kira apakah reaksi dari bawah pentas.

Satu lagi jenaka yang memedihkan. Zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi dibubuhkan noktah apabila beliau termakan dengan pembohongan yang direka oleh menantu sendiri dari ‘Tingkat Empat’ – pembohongan berterusan di media bahawa Umno-Barisan Nasional masih meraih sokongan rakyat. Pak Lah hanya sedar dikejutkan kebenaran pada malam 8 Mac 2008 – apabila rakyat bersuara menggunakan undi dalam tangan.

Najib Razak mungkin lebih cerdik berbanding Pak Lah jikalau dilihat dari kaca mata Mahathir Mohamad. Itu sebabnya beliau menguji dahulu pengundi secara bersemuka dengan pungutan ‘suara’ di padang Kolej Han Chiang, sebelum penduduk Pulau Pinang bersuara dengan undi. Tetapi mengulangi soalan yang sama setelah dibalas dengan ‘No’, memperlihatkan masalah yang lebih besar di sebalik ‘kebebalan’ Najib.

 

BN terpisah daripada akar umbi

Jikalau dahulu Pak Lah tertipu dengan pembohongan pihak sendiri, kini Najib pula gagal berdepan dengan realiti, biarpun terpampang jelas di depan mata. Najib semestinya tidak menduga bahawa beliau akan ditolak bulat-bulat oleh rakyat yang bersemuka dengannya. Mungkin Najib tidak merasai bahang kemarahan rakyat akar umbi terhadap Umno BN. Atau barangkali untuk Najib, walaupun rakyat tidak berpuas hati terhadap BN sekalipun, mereka tetap akan membalas ‘Yes’, sebagai penghormatan terhadap seorang Perdana Menteri.

Jika benar salah satu daripada dua kemungkinan di atas, maka ia menunjukkan bagaimana pemimpin BN semakin terasing daripada akar umbi masyarakat. Apabila rakyat turun ke jalan raya, Menteri Penerangan dengan media kawalannya cuba mengubahsuai angka manusia, agar Najib tidur lena setiap kali selepas rakyat berhimpun menyuarakan bantahan. Kesannya PM gagal merasai ketidakpuasan rakyat yang sanggup turun bersama Pakatan Rakyat – bukan sahaja datang dengan menanggung kos pengangkutan sendiri, risiko dibelasah FRU , malah komitmennya untuk menderma kepada pembangkang. Terbaru, rakyat boleh hadir di gelanggang BN untuk menari bersama Psy, tetapi hatinya tetap bersama Pakatan Rakyat.

Malah zaman telah berubah. Rakyat boleh menghormati seseorang pemimpin, tetapi tidak lagi takut kepada mereka. Untuk tunduk, ‘listen’ dan menjawab ‘Yes’ tanpa rasional kepada PM, itu namanya takut, bukan hormat. Seseorang PM boleh memaksa rakyatnya untuk takut kepada dirinya, tetapi gagal memaksa rakyatnya untuk menghormati dirinya. Alaf ke-21 bukan lagi zaman rakyat sujud kepada penguasa, sebaliknya rakyat menjadi bos kepada kerajaan yang dipilihnya melalui peti undi.

Bahkan Najib sendiri pernah mengakui bahawa “zaman kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir”. Maknanya rakyat berhak menegur, malah harus diberi ruang untuk memainkan peranan sepanjang proses penggubalan dasar. Jikalau itulah ayat-ayat yang ditanam di tepi bibir, mengapa pula Najib kelihatan seolah-olah gagal mengendali reaksi rakyat di depannya?

Masalahnya pemimpin BN semakin terasing daripada masyarakat akar umbi, sehingga gagal menyelami jiwa rakyat. Bayangkan, apabila pemimpin BN mengadakan sidang media, wartawan yang dijangka melontar soalan tajam akan cuba dihalang sebermulanya. Kemudian, wartawan dari media milik parti pemerintah akan mengelak daripada mengajukan soalan ‘sensitif’, malah ada kalanya sengaja menghantar ‘bola tanggung’ untuk di-smash oleh pemimpin BN.

Bagi aktiviti ‘dialog’ pula, hampir menjadi amalan wajib untuk pihak penganjur menapis soalan yang bakal dikemukakan sebelum dialog berlangsung. Masing-masing mahu dirinya ditampilkan sebagai pemimpin yang sudi mendengar dan menjawab kemusykilan rakyat. Mereka hadir untuk berdialog dengan siswa, peneroka FELDA, penduduk setinggan dan sebagainya. Setelah memberi ucapan ‘sehala’-nya, maka majlis akan dihiasi dengan sesi ‘soal-jawab’, melengkapkan ‘komunikasi dua hala’. Semakin tinggi pangkat pemimpin yang hadir, maka semakin ketat pengajur menapis soalan dari bawah pentas – untuk mengelakkan rasa kekok, kononnya.

Sebagai kesudahannya, pemimpin sebenarnya tidak merasai apa yang terpendam dalam hati rakyat. Kesemuanya diatur dan dirancang untuk memenuhi keselesaan pemimpin. Apabila pemimpin berhenti berucap untuk menelan air liur, maka kumpulan penyokong yang diupah akan bertepuk tangan, dan sesetengahnya ditugaskan bersorak dengan kain rentang ‘I Love PM’. Lama-kelamaan pemimpin sendiri terbuai dalam khayalan bahawa dirinya popular. Lebih parah, pemimpin tidak tahu sejauh manakah ucapannya menyentuh hati rakyat, kerana reaksi sorakan dan tepukan dari bawah pentas – dibayar dengan upah.

 

APCO lidah manis Umno BN

Paling dahsyat, apabila sistem penyampaian mesej kepada rakyat ini dikendalikan oleh firma hubungan awam antarabangsa, dan kerajaan BN sanggup membayar puluhan juta ringgit untuk tujuan itu. Maka slogan dan ayat yang sedap diselitkan ke dalam teks ucapan PM, tanpa mengambil kira maknanya. Lihat bagaimana Najib mengungkapkan “zaman kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir”, tatkala kilang pemprosesan nadir bumi Lynas diberi lampu hijau untuk beroperasi. Sambil melaungkan ‘Rakyat Didahulukan’, beliau menggadaikan kesihatan dan nyawa penduduk Gebeng di Kuantan.

Kesannya, kerajaan BN tidak lagi mampu untuk berkomunikasi dengan rakyat, setelah APCO dilantik untuk menyebar propaganda politiknya. Apabila seseorang menteri turun padang dan terserempak dengan orang miskin, apa yang dilakukannya adalah mengagih BR1M RM500. Kemudian dibuat iklan di televisyen untuk menunjukkan betapa gembiranya seorang anak yang akhirnya mampu membeli sepasang cermin mata baru dengan BRIM. Tetapi Menteri itu tidak tahu langsung pengalaman hidup seseorang anak dalam keluarga yang berpendapatan RM 3,000 ke bawah. Bagaimana runsingnya ibu bapa untuk membeli pakaian seragam pengakap apabila anaknya diwajibkan menyertai pasukan beruniform, bagaimana baju itu sengaja dibeli dengan saiz yang lebih besar agar boleh dipakai bertahun-tahun.

Maka terpinga-pingalah dia setelah didedahkan kepada kebenaran. Pengalaman dan perasaan rakyat yang sebenar tidak pernah wujud dalam dunia hidupnya. Maka diulangi berkali-kali “Are you ready for BN?” walaupun dibalas dengan “No”, kerana beliau masih terfikir-fikir, mengapa penduduk Pulau Pinang tidak menjawab sebagaimana yang tertulis dalam skrip dan teks ucapannya.

*Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. Beliau boleh dihubungi di hongsiang27@gmail.com

 

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=46267

Posted by on Mar 1 2013. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google