Nurul Izzah: Anwar betulkan salah guna kerajaan yang lalu

Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon perkenaan Yang di-Pertuan Agong dikembalikan dalam meluluskan akta di Parlimen adalah untuk membetulkan salah guna yang dilakukan kerajaan terdahulu, kata Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar.

Menurutnya, kesilapan itu diakui sendiri bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini meminta maaf.

“Alhamdulillah tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk membetulkan salah guna pada masa lampau.

“Pindaan pada 1994 itu diakui sendiri okeh Tun Dr Mahathir sebagai satu kesilapan, dan beliau meminta maaf, kerana ia membuka pintu kepada salah guna oleh kerajaan,” katanya menerusi Facebook beliau.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bagaimana pun yakin pindaan itu pada asalnya bukan bertujuan mencampuri bidang kuasa Agong.

“Tentunya tidak, terutamanya dalam hal Majlis Keselamatan Negara, yang membolehkan hal seperti perisytiharan darurat dilakukan, yang dengan jelas sepatutnya merupakan bidang kuasa Di Raja,” katanya lagi.

Anwar pada 2 Januari memfailkan satu tuntutan di Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam meluluskan undang-undang.

Beliau berbuat demikian bagi mencabar Akta Keselamatan Negara (MKN) 2016, yang diluluskan tanpa perkenaan Seri Paduka Baginda.

Menerusi peguam Latheefa Koya dan N Surendran, Anwar memohon supaya tiga pindaan undang-undang sejak 1983 berhubung penarikan keperluan mandatori untuk perkenaan Yang di-Pertuan Agong dalam meluluskan undang-undang, diisytiharkan tidak sah kerana mencabuli Perlembagaan Persekutuan.

Dalam permohonan itu, Anwar meminta perisytiharan bahawa Seksyen 12 Akta Perlembagaan 1983 (Pindaan), Seksyen 2 Akta Perlembagaan 1984 (Pindaan) dan Seksyen 8 Akta Perlembagaan Pindaan 1994 adalah ultra vires atau bertentangan dengan Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan, kerana Parlimen tidak mempunyai hak untuk meluluskan pindaan itu.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa Akta MKN 2016 yang diluluskan dengan cara itu diisytiharkan batal dan tidak sah dan tidak diguna pakai.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=71293

Posted by on Jan 5 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE