Nurul Izzah desak Najib mulakan inisiatif mesyuarat tergempar Asean demi Rohingya

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengutamakan langkah untuk menangani krisis etnik Rohingya di Myanmar yang semakin meruncing sewaktu beliau sedang bersiap-sedia bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Menurut Naib Presiden KEADILAN itu, Najib perlu mengadakan mesyuarat tergempar di peringkat Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) bagi menghentikan krisis itu.

“Kini segala-galanya berada dalam tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tatkala beliau sibuk mempersiapkan diri bertemu presiden Amerika Syarikat.

“Berdasarkan isu-isu memuncak di Malaysia, beliau bertindak dengan menggesa atau mengadakan pertemuan kecemasan di peringkat Asean untuk menyelesaikan tragedi pembunuhan yang terus berlangsung,” kata Nurul Izzah dalam kenyataan.

Menurutnya, langkah yang lebih nyata dan jelas perlu segera dibuat Najib selaku pemimpin Malaysia – negara yang dilihat berpengaruh dalam Asean – di samping siri seruan dan kecaman terhadap kebisuan kerajaan Myanmar dalam hal ini.

“Kerajaan Malaysia sebagai salah sebuah negara Asean paling berkuasa dan pejuang utama hak golongan Rohingya, perlu mendesak kerajaan Myanmar dan tenteranya untuk menerangkan punca penindasan yang berlaku, lalu menghentikan layanan apartheid terhadap golongan Rohingya,” katanya.

Sebelum ini Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar bertindak menghentikan penindasan terhadap etnik Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar dengan menghantar pasukan pengaman ke sana.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut mendesak pertubuhan dunia itu merangka dasar sikapnya terhadap konflik tersebut dalam persidangannya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Etnik minoriti Islam Rohingya dilaporkan sedang berhadapan kempen pembersihan etnik apabila setiap hari ribuan mereka dilaporkan dibunuh dengan kejam oleh kerajaan Myanmar di wilayah Rakhine.

Sedangkan pada masa sama, pemimpin Myanmar yang juga merupakan penerima Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi terus berdiam diri walaupun menerima pelbagai tekanan dari masyarakat antarabangsa untuk menghentikan krisis itu.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70492

Posted by on Sep 11 2017. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE