Nurul Izzah khuatir rakyat tanggung kos ‘over budget’ MRT

KUALA LUMPUR 17 JULAI: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar khuatir orang ramai akan menanggung beban kos membina tren MRT yang diunjurkan akan melepasi belanjwan asal sebanyak RM40 bilion.

Dalam kenyataannya, ahli parlimen Lembah Pantai itu berkata kerisauannya itu adalah berasaskan tahap pertama projek itu yang sudah pun menelan belanja RM21 bilion.

“Projek mega yang melibatkan tiga fasa ini akan merangkumi laluan rel sepanjang 150 kilometer dan perdana menteri sudah umumkan peruntukan keseluruhan projek berkenaan RM40 bilion.

“Jika fasa pertama yang hanya sejauh 53 kilometer sudah menelan RM21 bilion daripada bajet tersebut, tidakkah projek ini secara keseluruhannya melepasi bajet asal (over budget)?

“KEADILAN pernah membangkitkan bahawa projek ini secara keseluruhannya akan menelan kos RM100 bilion tetapi dinafikan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kerajaan perlu memastikan sebarang kenaikan kos selain daripada yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini tidak dipindahkan kepada pengguna.

“Jelaslah bahawa kos pembinaan projek MRT yang lebih mahal ini kelak akan membebankan pengguna – samada menerusi kos tambang atau subsidi yang ditanggung kerajaan menggunakan dana rakyat.

“Hal ini berlaku tatkala kerajaan bakal mengalihkan beban menanggung kos pembinaan projek ini kepada rakyat, seperti mana beban yang ditanggung pengguna lebuh raya tol ketika ini,” katanya lagi.

Gesaan ini dikeluarkan Nurul Izzah sewaktu Najib melancarkan MRT laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) hari ini di Kuala Lumpur.

Nurul Izzah turut mengulangi gesaannya sebelum ini agar kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen berkait Pengangkutan Awam bagi memantau perkembangan projek pengangkutan awam secara berkala.

“Persoalan-persoalan inilah yang menjadi sebab saya mahukan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Pengangkutan Awam sebagai usaha memperkemas tatacara tadbir urus sistem pengangkutan negara.

“Ia membolehkan kami di kerusi pembangkang terlibat secara langsung dengan operator dan pelaksana projek terlibat, dalam kes ini MRTCorp dan Prasarana Malaysia atas nama Parlimen. Tatacara sebegini sudah lama dilaksanakan secara demokrasi di negara maju lain.

“Atas nama ketelusan juga, saya menggesa MRTCorp dan Prasarana menerbitkan laporan bulanan. Saya pasti laporan sedemikian wujud tetapi untuk kegunaan dalaman sahaja.

“Jadi tidak sukar untuk menerbitkannya kepada umum,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70238

Posted by on Jul 17 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE