Omar Othman pejuang, pemidato hebat- Dr Syed Husin Ali

KUALA LUMPUR: Allahyarham Omar Othman, bekas pemimpin Parti Rakyat Malaysia, disifatkan sebagai seorangĀ  pejuang dan pemidato yang hebat.

Allahyarham yang menetap di Sungai Rusa, Balik Pulau, Pulau Pinang meninggal dunia kira-kira jam 1.40 pagi tadi pada usia 74 tahun.

Omar Othman dilahirkan di Batu Maung pada 10 Ogos 1935. Anak jati Pulau Pinang ini mendapat pendidikan rendah di dua buah sekolah, iaitu Sekolah Melayu Kampong Jawa dan Sekolah Melayu Batu Maung, Pulau Pinang.

Rakan karib kepada allahyarham Usman Awang ini mula menceburkan diri dalam politik menerusi Parti Rakyat Malaysia.

Pada sekitar lewat tahun 70-an beliau menduduki jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Negeri Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Pemborong Malaysia.

Dalam pelbagai kariernya, daripada menjadi kontraktor atau pengusaha kecil-kecilan, beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Datuk Bandar Pulau PinangĀ  dari 1971-1972.

Banyak dipengaruhi tokoh kemerdekaan tanah air, Ahmad Boestamam, Omar dianggap sebagai seorang pemidato yang hebat oleh pejuang seangkatan dengan nya.

Ahli Biro Politik KEADILAN, Dr Syed Husin Ali berkata, pemergian allahyarham, merupakan kehilangan besar kepada rakyat di negara ini dan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) khususnya.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Pemergiannya merupakan kehilangan besar kepada rakyat dan kepada parti KEADILAN.

“Allahyarham seorang pemimpin yang patut dicontohi, seorang pejuang yang komited dalam perjuangan dan seorang yang mempunyai disiplin yang tinggi,” ujar Syed Husin, juga bekas Timbalan Presiden KEADILAN.

Menurut Syed Husin, ketika percantuman antara Parti Rakyat Malaysia dan Parti KEADILAN Nasional pada 2003, Omar salah seorang yang kuat menyokong percantuman itu.

Selepas itu katanya, Omar masih bergiat aktif dalam KEADILAN sebagai penasihat kepada Parti itu di Pulau Pinang.

Mencerita serba sedikit tentang latar belakang allahyarham, Syed Husin berkata, Omar aktif dalam Parti Rakyat sebagai anggota jawatankuasa pusat dan pernah memenangi pilihan raya peringkat perbandaran Pulau Pinang awal 1960 an.

“Semasa menjadi timbalan datuk bandar, antaranya dia mengusahakan pembinaan rumah murah. Orang ingat usaha yang dilakukan sampai sekarang,” kata Syed Husin kepada Keadilandaily.com.

Menurut Syed Husin, meskipun Omar tidak memiliki pelajaran yang tinggi, namun beliau menunjukkan kebolehan intelektual dan seorang pemidato yang hebat.

“Meskipun tidak mempunyai pelajaran yang tinggi, namun ilmu yang dimilikinya banyak. Dia rajin berbincang dan membaca.

“Dia hanya tamat sekolah melayu darjah 4 atau 6, namun dari segi mental dan kebolehan pemikirannya, dia jauh lebih baik dari mahasiswa atau lepasan universiti.

“Dia juga seorang pemidato yang hebat. Saya anggap dia sebagai pemidato Melayu terbaik yang saya pernah jumpa, selain boleh menguasai bahasa Cina dengan baik. Kalau dia berpidato, isinya padat, ditambah dengan unsur jenaka yang lucu,” tambah Syed Husin.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=15047

Posted by on Jun 9 2011. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE